Home / Sekolah / 36 murid SK Pendok terokai Kuala Lumpur, Melaka menerusi Rehlah Minda

36 murid SK Pendok terokai Kuala Lumpur, Melaka menerusi Rehlah Minda

oleh Mazraihan Hilmi

TANAH MERAH – Seramai 36 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendok, Tanah Merah, Kelantan mengikuti program Rehlah Minda: Kuala Lumpur-Melaka selama tiga hari dua malam sebagai pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah.

Program anjuran Unit Hal Ehwal Murid SK Pendok itu memberi peluang kepada murid meneroka dunia sains, sejarah, pengangkutan awam serta pembangunan bandar menerusi pengalaman secara langsung di Kuala Lumpur dan Melaka.

Ketua rombongan, Muhammad Azharulzaman Mohd Azlan Shah Goh, berkata program berkenaan merupakan inisiatif sekolah bagi meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah dengan memberi pengalaman sebenar kepada murid.

“Pengalaman ini membolehkan murid melihat sendiri kesibukan kehidupan di bandar raya serta memahami bagaimana pembangunan dan kemudahan awam memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat.

“Perjalanan menaiki kereta api selama kira-kira 12 jam juga memberi pengalaman baharu kepada murid untuk dibandingkan dengan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang lebih pantas,” katanya.

Rombongan yang disertai enam guru pengiring itu turut mengunjungi beberapa lokasi bersejarah termasuk Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muzium Samudera dan Kota A Famosa di Melaka.

Guru pengiring yang juga guru mata pelajaran Sejarah, Siti Amira Zakaria, berkata lawatan berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada murid berekreasi, malah membantu menerapkan nilai patriotisme melalui pengalaman melihat sendiri lokasi berkaitan sejarah negara.

“Pengalaman berada di Muzium PDRM, Muzium Samudera dan Kota A Famosa memberi peluang kepada murid menghayati kembali sejarah serta perjuangan tokoh dan masyarakat terdahulu dalam membentuk negara,” katanya.

Program yang diadakan sempena cuti Hari Keputeraan Sultan Kelantan itu turut memberi pendedahan kepada murid mengenai pembangunan pesat negara, kehidupan masyarakat bandar serta sejarah kemerdekaan Tanah Melayu melalui pembelajaran secara pengalaman.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:58


Zohor

13:01


Asar

16:23


Maghrib

18:59


Isyak

20:12

Sumber: e-Solat JAKIM