oleh Editorial KampusKini
MELAKA – Seramai 33 pelajar Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) Penyediaan Makanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah mendapat pendedahan secara langsung terhadap industri makanan menerusi lawatan penanda aras ke Universiti Geomatika Malaysia (UGM) Melaka di sini.
UGM Melaka dalam kenyataan berkata lawatan itu memberi peluang kepada pelajar mengenali suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi selain memahami aplikasi kemahiran penyediaan makanan dalam persekitaran industri sebenar.
Antara pengisian utama ialah lawatan ke Almega Food Factory, yang membolehkan pelajar melihat proses penghasilan produk makanan Ready-to-Eat (RTE) dan Ready-to-Cook (RTC).
Pendedahan berkenaan memberi gambaran kepada pelajar mengenai proses pengeluaran makanan serta kaitannya dengan kemahiran yang dipelajari dalam bidang penyediaan makanan dan kulinari.
Selain lawatan industri, pelajar turut mengikuti sesi amali penyediaan makanan di dapur UGM Melaka bersama tenaga pengajar, Cik Fareha dan Sir Irfan.
Dalam sesi berkenaan, pelajar berpeluang menggunakan peralatan dapur serta mempelajari teknik dan kaedah penyediaan makanan secara praktikal.
UGM Melaka berkata pendekatan pembelajaran secara langsung itu membolehkan pelajar menghubungkan pengetahuan yang dipelajari di sekolah dengan pengalaman amali dan keperluan industri.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada pelajar mengenali persekitaran kampus serta mendapatkan pendedahan mengenai laluan pendidikan tinggi dalam bidang berkaitan selepas tamat persekolahan.
Program berkenaan mencerminkan usaha UGM Melaka memperluas jaringan dengan institusi pendidikan serta menyediakan pendedahan akademik dan industri kepada pelajar vokasional bagi membantu mereka meneroka peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kulinari.


Leave a Reply