oleh Editorial KampusKini
BACHOK– Seramai 1,055 pelatih Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) daripada 19 universiti awam (UA) seluruh negara ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Pentauliahan itu berlangsung sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Ke-22 Tahun 2026 di Padang Kawad Perdana dan Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini.
Penyampaian sijil pelantikan daripada Ketua Polis Negara disempurnakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, CP Dato’ Noor Hisam Nordin.
Noor Hisam berkata sehingga kini Kor SUKSIS telah melahirkan 21,902 alumni di seluruh negara, dengan 1,248 orang atau 5.7 peratus menyertai PDRM.
“Daripada jumlah itu, 1,058 orang berpangkat Inspektor, 65 Sarjan dan 125 Konstabel,” katanya pada majlis berkenaan.
Beliau berkata Kor SUKSIS bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya platform membentuk kepimpinan, integriti, disiplin, ketahanan diri dan patriotisme menerusi latihan selama tiga tahun atau enam semester dengan sekurang-kurangnya 672 jam latihan.
Menurutnya, latihan berkenaan merangkumi kawad, latihan senjata, integriti, pertolongan cemas, seni mempertahankan diri, latihan jasmani dan khidmat masyarakat.
Noor Hisam berkata modul latihan Kor SUKSIS akan terus diperkasa agar kekal relevan dengan cabaran keselamatan semasa termasuk ancaman siber, perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), pengurusan krisis, keselamatan komuniti serta tadbir urus berintegriti.
“PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti awam bagi memastikan Kor SUKSIS kekal relevan sebagai platform pembangunan kepimpinan dan pembentukan modal insan berkualiti.
“Majlis pentauliahan hari ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi membawa tanggungjawab besar untuk terus menjunjung integriti, profesionalisme, disiplin dan semangat berkhidmat kepada masyarakat,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UMK merangkap Pengerusi Sekretariat Kor SUKSIS UMK, ACP/KS Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata pihaknya menghargai kepercayaan PDRM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Sekretariat Kor SUKSIS UA kepada UMK untuk menjadi tuan rumah majlis berkenaan.
Beliau berharap pelatih yang ditauliahkan dapat mengekalkan disiplin serta memanfaatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman sepanjang mengikuti Kor SUKSIS untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)


Leave a Reply