oleh Editorial KampusKini
BERLIN – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkukuh jaringan strategik antarabangsa dalam industri rel menerusi penyertaan pada Persidangan dan Pameran InnoTrans 2026 di Messe Berlin, Jerman, yang turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Letter of Intent (LoI) bersama beberapa rakan strategik.
Naib Canselor UTHM, Prof Ts Dr Mas Fawzi Mohd Ali, berkata kerjasama berkenaan membuka ruang lebih luas kepada universiti untuk memperkukuh pembangunan bakat, pendidikan profesional, penyelidikan dan pemindahan teknologi dalam industri rel.
Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan MG Consult dari Perancis, Société Nationale des Chemins de fer Français (SNCF) dan Invest Selangor menerusi pelbagai program serta inisiatif berkaitan pembangunan industri rel.
“Kerjasama strategik ini merangkumi pendidikan, latihan, program eksekutif dan kursus jangka pendek, pensijilan profesional, pembangunan akademik dan staf, penyelidikan serta perundingan.
“Ia turut meliputi penempatan dan latihan industri pelajar, persidangan, seminar serta pertukaran ilmu dan kepakaran khususnya dalam bidang teknologi lestari, pengangkutan dan industri rel,” katanya.
Prof Ts Dr Mas Fawzi berkata jalinan tersebut turut dilaksanakan selaras dengan Selangor Talent Action Plan for Rail Industry (STAPRI) dan membuka peluang kepada pembangunan kompetensi serta penyediaan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri rel.
Beliau berkata penyertaan UTHM di InnoTrans 2026 turut memperkukuh peranan RailX UTHM sebagai platform pembangunan bakat, pendidikan profesional dan kolaborasi industri dalam bidang rel.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, pemindahan teknologi, pembangunan kompetensi serta penerokaan peluang baharu yang dapat memberi nilai tambah kepada industri rel Malaysia,” katanya.
Sesi pertukaran MoU dan LoI itu turut disaksikan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Tuan Ng Sze Han; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Mohamad Razlan Jamil; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhar Idris.
Delegasi UTHM diketuai Prof Ts Dr Mas Fawzi bersama Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Hasry Harun; Ahli Penasihat RailX, Kapten Mohd Hasnizam Md Daud; Ketua Pegawai Eksekutif RailX, Prof Madya Ts Dr Mohd Fahmy Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan UTHM Tanjung Laboh, Prof Dr Erween Abd Rahim.
Prof Ts Dr Mas Fawzi berkata penyertaan UTHM dalam InnoTrans 2026 mencerminkan komitmen universiti memperluas keterlihatan dan reputasinya dalam ekosistem industri rel global, selain memperkukuh jaringan dengan industri dan organisasi antarabangsa.
Menurut beliau, usaha itu selaras dengan aspirasi UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030) dalam memperkasa pendidikan teknikal, inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Leave a Reply