BATU PAHAT– Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghantar seramai 190 atlet yang membentuk 16 pasukan bagi menggalas cabaran universiti pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, dengan sasaran meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas dan menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik institusi pengajian tinggi (IPT).
Sasaran berkenaan diumumkan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UTHM ke SUKIPT 2026 yang berlangsung di universiti itu, sebagai simbolik pelepasan rasmi kontinjen untuk membawa nama UTHM ke pentas kejohanan.
Penyerahan bendera disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, selaku wakil rasmi Naib Canselor, kepada ketua kontinjen.
Kontinjen UTHM kali ini akan beraksi dalam pelbagai acara termasuk bola sepak, bola tampar, skuasy, olahraga, taekwondo, sepak takraw, kayak, memanah, e-sukan, catur, silat dan futsal.
Bagi memastikan atlet berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik, seluruh kontinjen telah menjalani latihan pusat secara intensif selama enam hari bermula 21 hingga 26 Ogos 2026, meliputi persediaan fizikal dan mental sebelum menghadapi saingan.
Sasaran dua pingat emas serta kedudukan dalam kelompok 20 terbaik IPT menjadi motivasi kepada para atlet untuk memberikan persembahan terbaik selain mempertahankan nama dan reputasi UTHM sepanjang kejohanan.
Penyertaan dalam SUKIPT 2026 turut menjadi medan kepada atlet UTHM untuk menguji kemampuan, membina keyakinan serta menerapkan nilai disiplin, daya juang dan semangat kesukanan dalam menghadapi persaingan peringkat institusi pengajian tinggi.
Photo credit: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Leave a Reply