Home / Sukan / UPNM perkasa belia Kampung Wira Damai menerusi latihan bola sepak

UPNM perkasa belia Kampung Wira Damai menerusi latihan bola sepak

GOMBAK – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkasa golongan belia menerusi Program Kampung Angkat Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) – Peningkatan Kesejahteraan Belia Menerusi Sukan yang dilaksanakan bersama komuniti Kampung Wira Damai di sini, baru-baru ini.

Program latihan bola sepak selama lapan minggu itu melibatkan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan bukan sahaja memberi pendedahan kepada asas permainan, malah menjadi medium membentuk disiplin, semangat kerja berpasukan serta keyakinan diri dalam kalangan peserta.

Program berkenaan memuncak menerusi penganjuran Karnival Komuniti MADANI JPT yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

UPNM pada program itu diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kol (K) Prof. Dr. Khairol Amali Ahmad.

Latihan yang dilaksanakan sepanjang lapan minggu itu memberi ruang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran asas bola sepak seperti menggelecek, hantaran dan menjaringkan gol, di samping menerapkan nilai positif yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Pendekatan menerusi sukan berkenaan turut memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada komuniti setempat, khususnya dalam pembangunan potensi golongan muda.

Program Kampung Angkat JPT itu mencerminkan usaha berterusan UPNM dalam mendekati komuniti menerusi pendekatan pembangunan belia yang holistik, dengan sukan dijadikan medium untuk membina bukan sahaja bakat dalam bidang bola sepak, malah karakter dan kepimpinan generasi muda.

Photo credit: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *