BACHOK– Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi digantikan dengan kerangka perundangan baharu berteraskan One Higher Education Act di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Naib Canselor UMK Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata pembentukan kerangka perundangan baharu itu merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh autonomi institusi, memperkasakan suara mahasiswa serta memperluas kebebasan akademik secara beretika.
Beliau berkata UMK bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses libat urus bagi memastikan pandangan warga akademik, pengurusan universiti dan mahasiswa dapat dipertimbangkan dalam pembentukan akta baharu berkenaan.
“Proses ini wajar melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pengurusan universiti, pakar pendidikan tinggi awam dan swasta, wakil industri, kolej komuniti, penyedia TVET, pakar perundangan, pelajar serta pihak berkaitan.
“UMK juga bersedia menganjurkan sesi perbincangan meja bulat dan dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), persatuan staf akademik serta pentadbir universiti bagi mendapatkan maklum balas yang lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arham berkata agenda pemerkasaan mahasiswa juga perlu diperkukuh menerusi program persediaan kepimpinan dan tadbir urus kendiri bagi memastikan golongan itu mempunyai keupayaan mengurus autonomi dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.
Menurut beliau, pelaksanaan pembaharuan perundangan berkenaan turut memberi ruang kepada UMK menyelaraskan struktur tadbir urus dengan identitinya sebagai universiti berteraskan keusahawanan (entrepreneurial university).
Katanya, kerangka baharu itu berpotensi mewujudkan ekosistem pengajian yang lebih fleksibel dan dinamik, termasuk menerusi penerapan elemen keusahawanan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di UMK.
“Reformasi perundangan ini meletakkan institusi pendidikan tinggi Malaysia pada landasan yang tepat untuk mendepani cabaran global dalam tempoh sedekad akan datang.
“Ia akan memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal dinamik, relevan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan serta cabaran landskap pendidikan di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata pembentukan kerangka perundangan baharu perlu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak supaya ia dapat memenuhi keperluan semasa serta hala tuju pendidikan tinggi negara.
Photo credit: FB Universiti Malaysia Kelantan


Leave a Reply