Home / Utama / UMK, Maybank Islamic serah lima rumah mesra OKU di Bachok

UMK, Maybank Islamic serah lima rumah mesra OKU di Bachok

oleh Editorial KampusKini

BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) dengan kerjasama Maybank Islamic menyerahkan lima rumah mesra Orang Kurang Upaya (OKU) kepada keluarga peserta Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA), Telong, baru-baru ini.

Penyerahan kunci rumah menerusi program MIB-OkayU itu disempurnakan Naib Canselor UMK Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Ketua Bahagian Prestasi Perniagaan dan Produktiviti Maybank Wilayah Pahang, Kelantan dan Terengganu Mat Zamri Hassan.

Datuk Prof. Arham berkata penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat itu mencerminkan komitmen UMK bersama rakan strategik dalam menterjemahkan tanggungjawab sosial kepada manfaat sebenar kepada masyarakat.

“Rumah bukan sekadar tempat untuk berteduh, tetapi ruang untuk membina kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah.

“Fungsi universiti bukan hanya melahirkan graduan dan menghasilkan penyelidikan, tetapi ilmu dan kepakaran perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya pada majlis penyerahan kunci itu di PROKA.

Beliau berkata rumah berkonsepkan mesra OKU berkenaan dilengkapi kemudahan asas termasuk sistem saliran, bekalan air dan pembetungan bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih kondusif serta meningkatkan kualiti hidup penghuni.

Sementara itu, Mat Zamri berkata kerjasama antara sektor korporat, universiti dan komuniti membolehkan program berkenaan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar golongan sasaran.

Beliau berkata UMK dan InsPeK menyumbang kepakaran, data serta pemahaman mengenai keperluan masyarakat, manakala Maybank Islamic menyediakan sumber, jaringan dan komitmen sosial bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

“Apabila kekuatan ini digabungkan, kita mampu menghasilkan program yang bukan sahaja memberi bantuan, tetapi membawa perubahan yang lebih mampan dan berimpak,” katanya.

Beliau berkata penyerahan lima rumah itu bukan sekadar menyediakan kediaman baharu kepada penerima, malah memberi ruang kepada keluarga berkenaan membina kehidupan dan masa depan yang lebih sejahtera.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM