Home / Sukan / UKM hantar 417 anggota, penyertaan terbesar dalam sejarah SUKIPT

UKM hantar 417 anggota, penyertaan terbesar dalam sejarah SUKIPT

KUALA LUMPUR — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil dengan penyertaan terbesar dalam sejarah universiti itu apabila menghantar seramai 341 atlet dan 76 pegawai bagi menggalas cabaran pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Kejohanan yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September itu akan diadakan di Universiti Malaya (UM), dengan kontinjen UKM membawa harapan untuk mencatat pencapaian membanggakan dalam temasya sukan institusi pendidikan tinggi berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman berkata penyertaan besar kontinjen pada edisi kali ini membuktikan kesungguhan universiti memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan potensi masing-masing dalam bidang sukan.

Beliau berkata, penyertaan seramai 417 anggota itu mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperkasa pembangunan sukan mahasiswa, selain memastikan aspek kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan kepimpinan bergerak seiring dalam pembangunan pelajar.

Beliau berkata Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UKM yang disempurnakannya menjadi simbol semangat perjuangan serta tanda kepercayaan dan amanah kepada seluruh atlet dan pegawai untuk mengharumkan nama universiti di pentas SUKIPT.

“Penyertaan dalam kejohanan seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa mengembangkan bakat sukan, malah membentuk disiplin, daya juang, semangat berpasukan dan kepimpinan yang penting dalam kehidupan mereka,” katanya.

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan UKM merangkap Timbalan Ketua Kontinjen, Dr. Nur Shakila Mazalan; Ketua Sekretariat Kontinjen, Suhaimi Suliman serta Presiden Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM), Muhammad Haikal Hamidi.

Kontinjen UKM dijangka terus memberikan saingan dalam SUKIPT 2026 dengan membawa semangat kesukanan, disiplin serta daya juang tinggi dalam usaha mengangkat nama universiti.

Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *