Home / Kampus / Syafinaz dilantik semula Profesor Adjung Tersohor FMSP UPSI

Syafinaz dilantik semula Profesor Adjung Tersohor FMSP UPSI

Poster ucapan tahniah daripada FMSP UPSI atas pelantikan semula Datuk Syafinaz Selamat sebagai Profesor Adjung Tersohor FMSP UPSI

TANJONG MALIM, 13 Ogos 2026 – Pengalaman luas Datuk Syafinaz Selamat dalam bidang muzik dan seni persembahan terus mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028, selepas sebelum ini beliau dilantik sebagai Profesor Adjung FMSP bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata pelantikan semula itu membuktikan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan pengalaman luas Syafinaz dalam bidang muzik dan seni persembahan, khususnya dalam pembangunan bakat serta pendidikan muzik.

“Pelantikan semula Datuk Syafinaz sebagai Profesor Adjung Tersohor FMSP merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam industri muzik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkayakan ekosistem akademik universiti.

“Penglibatan tokoh industri seperti beliau penting dalam memastikan pendidikan muzik sentiasa mempunyai hubungan yang kukuh dengan perkembangan industri sebenar, sekali gus memberi pendedahan profesional yang lebih luas kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Amin berkata kerjasama antara akademia dan industri merupakan elemen penting dalam usaha UPSI melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu akademik, malah memiliki kemahiran praktikal, kreativiti dan nilai profesional yang diperlukan dalam industri kreatif.

Katanya, pengalaman Syafinaz sebagai penyanyi, guru vokal dan penggiat seni persembahan mampu memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan bakat di FMSP.

“UPSI berharap kepakaran yang dimiliki Datuk Syafinaz dapat terus dimanfaatkan dalam memperkukuh pendidikan muzik, pembangunan bakat serta kolaborasi strategik antara universiti dengan industri seni dan muzik,” ujar beliau.

Sementara itu, Dekan FMSP, Prof Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani berkata sepanjang tempoh pelantikan pertama, Syafinaz telah memberikan sumbangan yang signifikan menerusi pelbagai aktiviti akademik dan artistik yang melibatkan warga fakulti serta pelajar.

“Sepanjang tempoh pelantikan terdahulu, Datuk Syafinaz terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik dan artistik, antaranya sebagai penyelia bersama pelajar Doktor Falsafah (Persembahan Muzik), selain menjadi penceramah bagi seminar The Fundamentals of Vocal Production dan mengendalikan Masterclass in Vocal Performance and Artistic Expression.

“Penglibatan beliau turut merangkumi pembangunan deVokalis Choir sebagai penasihat koir, Pengarah Artistik dan Penasihat Vokal Eksekutif menerusi program pembangunan profesional serta persembahan Harmonic Odyssey: A Decade of deVokalis Choir,”.

Menurut Dekan FMSP, kepakaran Syafinaz turut dimanfaatkan dalam persediaan deVokalis Choir bagi menyertai Busan Choral Festival 2026, khususnya dalam aspek pembangunan vokal, interpretasi dan peningkatan kualiti persembahan.

Katanya, penglibatan berterusan Syafinaz memberi manfaat bukan sahaja dari aspek peningkatan kemahiran vokal dan persembahan, malah memperkukuh hubungan antara FMSP dengan pengamal industri muzik profesional.

“Pengalaman dan kepakaran beliau memberikan satu dimensi penting kepada pembangunan pelajar dan kumpulan persembahan FMSP kerana mereka dapat menerima bimbingan secara langsung daripada tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam industri muzik dan seni persembahan,” katanya.

Sementara itu, Syafinaz berkata pelantikan semula itu merupakan satu penghormatan besar dan amanah yang akan dilaksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme serta integriti.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan UPSI, khususnya FMSP, turut memberi peluang kepadanya untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dikumpulkan sepanjang lebih tiga dekad dalam industri muzik.

Editor Kampuskini.my avatar
  1. A WordPress Commenter avatar
    A WordPress Commenter

    Hi, this is a comment.
    To get started with moderating, editing, and deleting comments, please visit the Comments screen in the dashboard.
    Commenter avatars come from Gravatar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *