Home / Sukan / PSAS perkasa Kontinjen Politeknik Malaysia ke SUKIPT 2026

PSAS perkasa Kontinjen Politeknik Malaysia ke SUKIPT 2026

KUALA KANGSAR– Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menghantar 40 atlet dan pegawai bagi menggalas cabaran Kontinjen Politeknik Malaysia pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.

Penyertaan PSAS pada edisi kali ini melibatkan tiga acara iaitu sepak takraw, pickleball dan menembak, sekali gus mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam memperkasakan pembangunan sukan dalam kalangan warga politeknik.

Pelepasan kontinjen itu disempurnakan menerusi Majlis Flag-Off Kontinjen Politeknik Malaysia ke SUKIPT 2026, hari ini, sebagai simbolik sokongan serta suntikan semangat kepada para atlet sebelum berdepan saingan di peringkat kebangsaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah PSAS Haji Razali Johari, Timbalan Pengarah (Akademik) Dr Nazratulhuda Awang @ Hashim, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Muhamad Adha Shamdin @ Shamsuddin serta Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK).

Kehadiran barisan pengurusan PSAS itu mencerminkan sokongan berterusan pihak institusi terhadap usaha atlet membawa nama PSAS dan Politeknik Malaysia dalam temasya berkenaan.

Dalam majlis sama, PSAS turut menyampaikan Insentif Kecemerlangan kepada atlet yang mencatat pencapaian membanggakan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pemberian insentif itu merupakan tanda penghargaan pihak institusi terhadap komitmen, disiplin dan pengorbanan atlet yang berjaya mengharumkan nama PSAS serta negeri dalam temasya sukan berkenaan.

SUKIPT 2026 yang berlangsung hingga 6 Sept ini menjadi platform kepada atlet institusi pendidikan tinggi untuk menguji keupayaan masing-masing selain memperkukuh semangat kesukanan, disiplin dan daya saing dalam kalangan mahasiswa.

Photo credit: Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *