Home / Tadika / PNI dominasi Alam Ria Kawasan Bangi 2026, tujuh acara muncul juara

PNI dominasi Alam Ria Kawasan Bangi 2026, tujuh acara muncul juara

oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah 

BANGI– Pusat Asuhan Tunas Islam Nurul Iman Bandar Tun Hussein Onn, Cheras (PNI) muncul juara keseluruhan Pertandingan Alam Ria Kawasan Bangi 2026 yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Putrajaya, baru-baru ini.

Guru Besar PNI Noreha Othman berkata kejayaan itu hasil kerjasama erat antara murid, guru dan ibu bapa selain kesungguhan peserta dalam mengasah bakat serta membina keyakinan dan jati diri positif.

Beliau berkata PNI bersaing dengan 38 pasukan lain dalam pertandingan yang melibatkan 34 murid bagi lapan acara iaitu azan, bercerita, khutbah, pidato, hafazan surah, nasyid, kalam jamaie dan deklamasi sajak.

“Di peringkat Kawasan Bangi, kami bersaing dengan 38 pasukan lain yang tidak kurang hebatnya. Seramai 34 murid mewakili kontingen PNI dalam acara yang dipertandingkan.

“Kejayaan ini juga membuktikan hasil usaha dan kerjasama semua pihak dalam memberi ruang kepada murid mengembangkan bakat serta membentuk keberanian dan jati diri,” katanya.

PNI turut mencipta pencapaian membanggakan apabila semua peserta berjaya meraih tempat dalam senarai pemenang dengan tujuh acara muncul juara, satu acara mendapat tempat kedua dan tiga acara meraih tempat ketiga.

Noreha berkata pencapaian itu bukan mudah dicapai kerana peserta dan guru berdepan pelbagai cabaran sepanjang persiapan pertandingan.

“Jelas sekali kejayaan ini sangat luar biasa tetapi cukup manis untuk dikenang. Terima kasih kepada peserta, guru-guru, ibu bapa termasuk alumni ibu bapa yang banyak membantu serta hadir memberikan sokongan sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *