Home / Utama / Mahasiswa UTM sumbang emas taekwondo Johor di SUKMA XXII

Mahasiswa UTM sumbang emas taekwondo Johor di SUKMA XXII

SHAH ALAM — Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Masturina Mahadzir menyumbang pingat emas buat kontinjen Johor dalam acara Kyorugi Wanita Bawah 67 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.

Masturina, 19, dari Kluang menampilkan aksi cemerlang untuk menewaskan wakil Pulau Pinang Noor Wirdani Qistina Mohd Tarmizi dengan keputusan 16-0 pada aksi final yang berlangsung di IDCC Ideal Convention Centre di sini.

Kejayaan itu turut menyaksikan Masturina memperbaiki pencapaian gangsa yang diraihnya pada edisi SUKMA terdahulu, hasil persiapan rapi dan konsisten yang dilakukannya sebaik sahaja temasya berkenaan berakhir.

Masturina yang kini melanjutkan pengajian di UTM, Skudai, berkata komitmen membahagikan masa antara latihan dan pengajian menjadi antara cabaran yang perlu dihadapinya dalam usaha mengekalkan prestasi di peringkat tertinggi.

Beliau menjalani latihan pada sebelah pagi sebelum menghadiri kuliah dan kembali menjalani latihan pada waktu malam bagi memastikan persiapan akademik serta sukan dapat dilaksanakan secara seimbang.

Persiapannya kali ini turut menyaksikan Masturina beralih ke kategori berat lebih tinggi, sekali gus berdepan cabaran daripada lawan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk merealisasikan sasaran membawa pulang pingat emas buat Johor.

Kejayaan tersebut turut didorong sokongan ibu dan keluarga yang sentiasa membantu perjalanan kariernya sebagai atlet, termasuk menguruskan keperluan latihan dan rawatan, selain bimbingan berterusan daripada barisan kejurulatihan.

Selepas kejayaan di SUKMA XXII, Masturina kini menyasarkan peluang untuk mewakili negara pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) sebagai langkah seterusnya dalam perkembangan kariernya.

Kejayaan mahasiswa UTM itu sekali gus membuktikan kemampuan institusi pendidikan tinggi melahirkan atlet yang mampu mengimbangi kecemerlangan akademik dan prestasi sukan di pentas kebangsaan.

 

Photo credit: MDJ Aisyah Mazalan

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *