Home / Utama / IPC 2026 himpun 500 pakar psikologi perkasa kesejahteraan masyarakat MADANI

IPC 2026 himpun 500 pakar psikologi perkasa kesejahteraan masyarakat MADANI

KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 ahli psikologi, pakar, penyelidik, ahli akademik dan pengamal profesional daripada pelbagai bidang psikologi berhimpun pada International Psychology Conference (IPC) 2026 bagi berkongsi penyelidikan, amalan berasaskan bukti serta inovasi dalam bidang berkenaan, semalam.

Bertemakan ‘Psychology for MADANI Society: Wellbeing, Resilience & Inclusive Development’, persidangan itu menjadi platform penyatuan profesion psikologi dalam memperkukuh kedudukan dan sumbangannya terhadap pembangunan Malaysia.

Persidangan yang berlangsung di HELP University itu dirasmikan oleh Datuk  Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail yang diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Prof. Datuk Dr. Fariza Md Sham FASc; Naib Canselor HELP University Prof. Dr. Liew Teik Kooi, Group Co-Chief Executive Officer (Tertiary), HELP Education Group Dr. Goh Chee Leong dan Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali.

IPC 2026 dianjurkan secara bersama oleh PSIMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan HELP University sebagai medan pertemuan pakar psikologi, penyelidik serta pengamal profesional untuk membentangkan penemuan kajian terkini, berkongsi amalan terbaik dan membina kerjasama yang boleh diterjemahkan kepada dasar, intervensi serta penyelesaian untuk masyarakat.

Persidangan itu turut mengetengahkan kepelbagaian bidang dalam disiplin psikologi termasuk Psikologi Klinikal, Psikologi Kaunseling, Psikologi Industri dan Organisasi, Psikologi Pendidikan, Psikologi Perkembangan, Psikologi Kesihatan, Psikologi Sosial dan Psikologi Sukan.

Walaupun mempunyai fokus dan kepakaran tersendiri, kesemua bidang berkenaan berkongsi tanggungjawab menggunakan ilmu psikologi berasaskan sains dan etika bagi meningkatkan kesejahteraan manusia serta menyumbang kepada pembangunan negara.

IPC 2026 diharap dapat memperkukuh kerjasama antara akademia, profesion dan komuniti, selain menyumbang kepada pembentukan masyarakat MADANI yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan inklusif.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *