Home / Sukan / Bendera UPSI, jiwa pejuang pacu kontinjen SUKIPT 2026

Bendera UPSI, jiwa pejuang pacu kontinjen SUKIPT 2026

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan bendera universiti kepada 30 pasukan sukan yang bakal menggalas cabaran pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM) dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPSI ke SUKIPT 2026 itu disempurnakan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, sebagai simbol amanah dan kepercayaan universiti kepada seluruh atlet yang bakal membawa nama UPSI pada temasya berkenaan.

Prof Md Amin berkata bendera UPSI bukan sekadar lambang universiti, sebaliknya membawa bersama amanah, maruah, doa dan harapan seluruh warga universiti kepada para atlet yang bertanding.

“Hari ini, saya menyerahkan bendera UPSI kepada 30 pasukan sukan yang bakal membawa nama universiti ke SUKIPT 2026. Bendera ini bukan sekadar lambang, tetapi membawa bersama amanah, maruah, doa dan harapan seluruh warga UPSI.

“Kepada para atlet, berjuanglah dengan penuh keberanian, disiplin dan semangat kesukanan. Bawalah nama UPSI dengan bangga, angkatlah bendera ini setinggi mungkin dan berikan yang terbaik di setiap gelanggang,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan di Dewan Kolej Za’Ba Kampus Sultan Azlan Shah UPSI .

Beliau turut menyeru para atlet agar menampilkan semangat kesukanan yang tinggi dengan menjunjung nilai integriti dalam setiap pertandingan, sama ada ketika mencapai kemenangan mahupun berdepan kekalahan.

“Menanglah dengan rendah hati, tewaslah dengan bermaruah, dan jangan pernah berhenti berjuang. Saya dan seluruh warga UPSI mendoakan agar semua pasukan diberikan kekuatan, ketenangan dan kejayaan.

Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai bidang sukan di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa turut mencerminkan usaha UPSI dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik.

“Pergilah sebagai pejuang, bertandinglah dengan jiwa dan pulanglah membawa kebanggaan untuk UPSI,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata penyertaan kontinjen UPSI dalam SUKIPT merupakan platform penting untuk mahasiswa mengembangkan potensi diri, selain mengukuhkan disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan.

Turut hadir Pengarah Pusat Sukan UPSI,  Mohammad Faeez Mohamad Alias serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

SUKIPT 2026 yang berlangsung selama 10 hari itu menghimpunkan atlet daripada institusi pendidikan tinggi seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.

Photo credit: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *