Home / Mahasiswa / Mahasiswa USM juara GenBajet27 menerusi idea platform kemahiran digital

Mahasiswa USM juara GenBajet27 menerusi idea platform kemahiran digital

PULAU PINANG — Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Huzairy Zaharuddin muncul juara GenBajet27 peringkat kebangsaan menerusi idea MySkillID, sebuah platform digital yang dicadangkan bagi mengiktiraf, memetakan dan menilai kemahiran individu secara lebih sistematik.

Ahmad Huzairy dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin mengetepikan saingan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara untuk merangkul gelaran berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata kejayaan Ahmad Huzairy membuktikan mahasiswa mampu menghasilkan idea dasar dan inovasi strategik yang berpotensi memberi impak kepada masyarakat serta pembangunan negara.

“Kemenangan ini membuktikan bahawa mahasiswa masa kini bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, malah berupaya menghasilkan idea dasar serta inovasi strategik yang mempunyai potensi besar untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.

MySkillID menawarkan pendekatan bagi membangunkan profil kemahiran digital yang lebih menyeluruh dengan menghimpunkan maklumat berkaitan kemahiran, pengalaman, projek serta bukti pencapaian seseorang individu.

Konsep itu turut berpotensi membantu mengenal pasti kebolehan individu dengan lebih mudah sebelum dipadankan dengan keperluan industri semasa, sekali gus menyokong usaha pembangunan bakat yang lebih bersasar.

Pertandingan berkenaan dianjurkan secara bersama Kementerian Ekonomi dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), dengan hadiah utama disampaikan Pengerusi Panel Juri yang juga Pengarah Kanan Perkhidmatan Strategik TERAJU, Nik Nazree Nik Abdul Rahman.

Pertandingan peringkat kebangsaan itu melibatkan peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta melalui tiga peringkat saringan sebelum 10 finalis terpilih ke peringkat akhir.

Saringan pertama dilaksanakan secara dalam talian menerusi borang Google, diikuti penghasilan video berdurasi tiga minit bagi peserta yang terpilih sebelum finalis membentangkan idea secara bersemuka pada peringkat akhir.

Pada saingan akhir, Ahmad Huzairy merupakan wakil tunggal USM dan bersaing dengan peserta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat, tiga wakil Universiti Malaya (UM) serta seorang peserta dari SEGi College Sarawak.

Konsep MySkillID turut dibangunkan selari dengan aspirasi PuTERA35, khususnya dalam aspek pembangunan bakat, pemerkasaan ekosistem pendidikan serta penerimagunaan teknologi dan digital.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM