Home / Mahasiswa / UUM tanggung yuran pengajian bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah

UUM tanggung yuran pengajian bakal mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian bakal mahasiswa Siti Nur Fatimah Yusof menerusi Program SULUNG, sekali gus membantu beliau merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke menara gading tanpa dibelenggu kekangan kewangan keluarga.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata Siti Nur Fatimah merupakan anak pertama dalam keluarganya yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti dan terpilih menerima manfaat Program SULUNG.

“Fatimah merupakan anak pertama dalam keluarganya yang akan melanjutkan pengajian ke universiti dan beliau turut mendapat manfaat daripada Program SULUNG.

“Melalui program ini, kita akan menanggung yuran pengajian beliau sepanjang tempoh pengajian. Kita mendoakan supaya beliau terus kuat semangat, mencapai keputusan yang cemerlang dan berjaya menamatkan pengajian.

“Kita juga berharap suatu hari nanti beliau akan berjaya dan dapat membantu keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Ziarah Kasih UUM yang menyantuni bakal mahasiswa berkenaan di kediamannya di Bera, Pahang, baru-baru ini.

Siti Nur Fatimah ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dengan Kepujian di UUM selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak kepada seorang pengawal keselamatan itu merupakan generasi pertama dalam keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, namun berdepan cabaran kewangan keluarga selain perlu membantu menjaga ibunya yang mengalami strok.

Dalam usaha membantu keluarga, Siti Nur Fatimah turut bekerja secara sambilan di sebuah kedai makan bagi mengumpul wang untuk menampung keperluan harian dan persiapan melanjutkan pengajian.

Program Ziarah Kasih UUM dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PWZ) serta Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) bagi menyantuni bakal mahasiswa yang akan mendaftar di UUM pada 15 September ini.

Menerusi program itu, bakal mahasiswa turut menerima Bantuan Awal Pendidikan dan Bantuan Awal Pengajian dalam bentuk wang tunai bagi membantu membuat persiapan sebelum memulakan pengajian.

Bagi Siti Nur Fatimah, bantuan berkenaan memberi ruang untuk beliau mengejar cita-cita dalam bidang pengurusan pelancongan sambil terus mengharapkan yang terbaik buat keluarganya.

Beliau dijadualkan mendaftar sebagai mahasiswa UUM pada 15 September ini dan akan memulakan fasa baharu kehidupannya di kampus Sintok, Kedah.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *