Home / Gaya hidup / UTHM RE:CONNECT 2026 perkukuh jaringan alumni

UTHM RE:CONNECT 2026 perkukuh jaringan alumni

PUTRAJAYA – Misi UTHM RE:CONNECT 2026: Merdeka Ride – MTUN Alumni Circuit mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila konvoi berkenaan diraikan menerusi sesi flag-off di perkarangan kementerian itu, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, turut menyantuni peserta konvoi yang diketuai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, dalam sesi ringkas sebelum mereka meneruskan perjalanan menjelajah Semenanjung Malaysia.

Sesi flag-off disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, sebagai simbolik sokongan kementerian terhadap usaha UTHM memperkukuh hubungan alumni, jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi serta semangat kebersamaan sempena Bulan Kebangsaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Noraisah Spahat; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq serta barisan pengurusan tertinggi UTHM.

Konvoi bertemakan “Menjejak Alumni, Menghubungkan Legasi” itu menghimpunkan 33 alumni rider sebagai simbolik kepada 33 tahun perjalanan dan legasi UTHM.

Program selama empat hari tiga malam dari 24 hingga 27 Ogos itu membawa misi universiti turun padang untuk menjejak, mendekati serta menghubungkan semula alumni UTHM di sepanjang laluan jelajah.

Lebih daripada sekadar konvoi bermotosikal, UTHM RE:CONNECT 2026 menjadi platform memperkukuh jaringan universiti bersama alumni serta institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Inisiatif itu turut membuka ruang kepada penerokaan potensi kerjasama dalam bidang pembangunan kerjaya, latihan industri, perkongsian kepakaran dan jaringan industri.

Sepanjang jelajah, sesi Alumni Meet & Greet turut diadakan bagi menghubungkan semula UTHM dengan alumni, di samping mengenal pasti alumni berpotensi untuk digerakkan sebagai mentor, pakar rujuk, panel industri dan rakan strategik universiti.

Selepas sesi flag-off di KPT, konvoi meneruskan perjalanan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum meneruskan jelajah ke beberapa institusi pendidikan tinggi lain dalam usaha mendekatkan UTHM dengan komuniti alumninya di seluruh negara.

Bersempena Bulan Kebangsaan, perjalanan itu turut membawa mesej patriotisme, perpaduan, kesukarelawanan dan kebersamaan, selaras dengan aspirasi UTHM untuk membina jaringan alumni yang terus aktif menyumbang kepada universiti, industri dan masyarakat.

Photo credit: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *