GERIK– Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan rakan strategik meneruskan komitmen memperkasa komuniti Orang Asli di Pos Kemar menerusi Program MARA Prihatin – Jejak Aspirasi UPTM @ Pos Kemar.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi MARA merangkap Pro-Canselor UPTM, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor serta Naib Canselor UPTM, Prof. Dr. Sharifah Syahirah Sy. Sheikh.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi program itu meliputi aspek pendidikan, kebajikan, pembangunan modal insan, keusahawanan dan sosioekonomi bagi memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Projek Madu Kelulut dan Tanaman Serai, Program SERI membabitkan kerja baik pulih sistem elektrik 30 rumah, Makeover Challenge, penyelenggaraan motosikal serta aktiviti pendidikan bersama komuniti.
Dalam usaha menyokong kesejahteraan penduduk, sebanyak 220 penerima turut menerima bakul makanan daripada Rural Capital Berhad (RCB), manakala 150 botol minyak hitam motosikal disumbangkan kepada komuniti oleh syarikat berkenaan.
Sebanyak 30 rumah pula menerima kerja baik pulih dan penyelenggaraan elektrik menerusi GIATMARA, manakala tiga motosikal elektrik disediakan sebagai cabutan bertuah utama oleh anak syarikat MARA.
Dalam bidang pendidikan, seramai 1,034 pelajar menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang merangkumi beg sekolah dan sumbangan wang tunai.
Pelajar terbabit turut menerima cenderahati daripada UPTM sebagai tanda ingatan dan penghargaan, selain satu unit SMART TV serta 100 hadiah cabutan bertuah disediakan universiti berkenaan.
Program Jejak Aspirasi UPTM @ Pos Kemar mencerminkan sinergi berterusan antara MARA, UPTM, rakan strategik dan komuniti dalam memperkukuh akses pendidikan, meningkatkan kesejahteraan serta merangsang pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli secara inklusif dan mampan.
Photo credit: MARA Corporation


Leave a Reply