Home / Utama / HITS Selangor 2026 perkasa akses maklumat pendidikan tinggi

HITS Selangor 2026 perkasa akses maklumat pendidikan tinggi

SHAH ALAM— Program Higher Education Institution Tour Series (HITS) Selangor 2026 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di I-City Central, di sini, menjadi platform sehenti bagi pelajar sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Program berkenaan memberi tumpuan khusus kepada laluan pendidikan di bawah rangkaian pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain menyediakan maklumat berkaitan bantuan pendidikan, pembangunan kerjaya dan peluang pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB), Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali.

HITS Selangor 2026 merupakan inisiatif kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Institusi Pendidikan MARA (IPMA), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam memperluas akses kepada maklumat serta peluang pendidikan tinggi berkualiti.

Program itu turut menghimpunkan pelbagai institusi dan agensi termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain pameran pendidikan, pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat konsultasi kerjaya dan bantuan pendidikan, menjalani ujian psikometrik, menyaksikan demonstrasi projek inovasi serta menghadiri taklimat berkaitan program pengajian.

Calon yang layak juga berpeluang membuat permohonan kemasukan dan mendapatkan surat tawaran secara terus sepanjang program berlangsung.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri Selangor, Fadzil Nor Samiran; Pengarah Perundangan dan Kesetiausahaan Kumpulan MARA Corporation Sdn Bhd, Nazli Hani Saat; Pengarah Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat YPM, Lubna Haida Mohd Khirati; Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, Mohd Fakhzan Md Noor dan Dr. Wan Muhammad Adam Wan Norudin serta Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor, Ahmad Faiz Ismail.

HITS Selangor 2026 dilihat penting dalam membantu generasi muda membuat pilihan pengajian berdasarkan potensi diri, minat serta keperluan industri, selain merancang laluan pendidikan dan kerjaya dengan lebih terarah.

Photo credit: Kolej Poly-Tech MARA

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *