KUALA NERUS – Seramai 370 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai Southeast Asia Olympiad Championship and Cultural Heritage Workshop Terengganu Malaysia 2026 yang berlangsung selama dua hari di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 20 Ogos itu dianjurkan dengan kerjasama Koperasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad (KHTK) dan Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA), menggabungkan pertandingan akademik berasaskan Olympiad dengan aktiviti berkaitan pelancongan lestari dan warisan budaya.
Majlis penutup program disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA (LPU) Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Beliau berkata penganjuran program berkenaan bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah platform kepada golongan muda untuk mencabar keupayaan diri, memperoleh pendedahan lebih luas serta membina hubungan merentasi institusi dan negara.
“Penglibatan peserta dari pelbagai negara turut membuka ruang kepada mereka membina keyakinan, menghayati persaingan sihat dan menjalin persahabatan merentasi sempadan budaya.
“Dalam masa sama, elemen pelancongan lestari yang diterapkan menerusi program ini penting dalam membentuk generasi muda yang memahami tanggungjawab terhadap komuniti setempat, warisan budaya dan kelestarian alam sekitar,” katanya pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata penganjuran edisi kali ini merekodkan penyertaan 166 peserta dari Indonesia, 151 Malaysia dan 53 Thailand.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 287 peserta menyertai kategori Sekolah Menengah Rendah, manakala 83 peserta lagi dalam kategori Sekolah Rendah.
“Peserta turut menguji keupayaan dalam pelbagai kategori termasuk Public Speaking, Storytelling, Arabic Speech dan Hafazan, sekali gus mengetengahkan aspek pengetahuan, kreativiti, keyakinan, kemahiran bahasa serta komunikasi,” katanya.
Menurutnya, penganjuran bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) turut memperkukuh jaringan pendidikan serantau, selain memberi nilai tambah kepada pembangunan peserta dari aspek kognitif, linguistik dan budaya.
“Kerjasama strategik antara UniSZA, KHTK, agensi kerajaan, komuniti dan rakan antarabangsa mencerminkan peranan universiti sebagai rakan ilmu dalam menyediakan ruang kepada generasi muda mengenali budaya akademik serta membina jaringan bermakna di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Photo credit: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Leave a Reply