Home / Utama / 69 peserta kayuh 22 kilometer sempena Kayak Merdeka UMT 2026

69 peserta kayuh 22 kilometer sempena Kayak Merdeka UMT 2026

KUALA TERENGGANU – Seramai 69 peserta menyertai ekspedisi kayak sejauh 22 kilometer dari Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong menerusi program Kayak Merdeka UMT 2026: The Merdeka Voyage – Conquering the Blue to Bidong.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata peningkatan penyertaan dalam program berkenaan tahun ini mencerminkan sambutan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi, alumni dan komuniti.

Beliau berkata pemilihan 69 peserta mempunyai signifikan tersendiri bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69, selain menjadi simbol semangat kebersamaan dalam meraikan kemerdekaan menerusi aktiviti yang sihat, mencabar dan bermakna.

“Angka 69 bukan sekadar jumlah penyertaan, tetapi turut membawa simbol semangat kebersamaan dalam meraikan kemerdekaan serta menyemarakkan patriotisme dalam kalangan peserta.

Menurut beliau, Kayak Merdeka UMT 2026 bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya menjadi wadah pembentukan ketahanan diri, disiplin, kerja berpasukan, keyakinan diri dan kepimpinan.

Katanya, peserta turut berdepan cabaran fizikal dan mental yang memerlukan perancangan, komunikasi, kerjasama serta keupayaan membuat keputusan secara bersama sepanjang ekspedisi.

“Ekspedisi ini juga memperkukuh interaksi antara warga IPT, alumni dan komuniti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara serta menghargai khazanah marin negara,” katanya.

Program anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula hari ini hingga 22 Ogos sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 dan Ulang Tahun ke-25 UMT.

Peserta terdiri daripada pelajar institusi pendidikan tinggi tempatan termasuk pelajar antarabangsa, staf IPT, alumni UMT serta anggota komuniti.

Majlis Pelepasan Kayak Merdeka UMT 2026 di Pantai INOS UMT pagi ini disempurnakan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Negeri Terengganu Encik Norzilam Mohamed.

Program itu turut mengetengahkan usaha UMT melalui HEPA dalam membangunkan generasi muda yang berdaya tahan, berjiwa kepimpinan serta mempunyai kecintaan terhadap khazanah marin negara.

Ekspedisi yang membawa tema ‘Conquering the Blue to Bidong’ itu menyaksikan peserta mengayuh bersama merentasi perairan Terengganu menuju Pulau Bidong sebagai sebahagian daripada penghayatan semangat kemerdekaan.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *