KUALA LUMPUR– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan akademiknya dengan Iraq menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysian University in Baghdad (MUB), sekali gus membuka ruang kerjasama strategik dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
MoU yang dimeterai di UMPSA Kampus Kuala Lumpur itu meliputi kerjasama dalam pembangunan kurikulum, khidmat nasihat akademik, penandaarasan dan jaminan kualiti program, khususnya dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dan Kecerdasan Buatan (AI).
Kerjasama berkenaan turut merangkumi program Training of Trainers (TOT), pembangunan kapasiti akademik, perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam kalangan ahli akademik, selain penerokaan peluang mobiliti pelajar, penyelidikan dan penerbitan bersama serta latihan profesional.
Naib Canselor UMPSA Prof Ts. Dr. Yatimah Alias berkata kerjasama itu memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk membina hubungan akademik yang lebih kukuh, khususnya menerusi perkongsian kepakaran dan pembangunan program pendidikan yang berkualiti.
Beliau berkata Iraq mempunyai kedudukan penting dalam sejarah perkembangan ilmu, kesarjanaan, sains, kebudayaan dan pertukaran intelektual, manakala Baghdad pernah menjadi antara pusat pembelajaran terkemuka dunia.
“Penubuhan MUB amat bermakna kerana ia membuka peluang untuk membina jambatan antara Malaysia dan Iraq melalui pendidikan, ilmu pengetahuan dan pembangunan kompetensi.
“Memorandum Persefahaman yang kita tandatangani hari ini merupakan satu permulaan yang baik. Namun, MoU hanyalah permulaan. Apa yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas pemeteraian ini,” katanya.
MUB kini dalam persediaan untuk mengambil kumpulan pelajar sulung pada Oktober 2026 menerusi program perintis dalam bidang AI, Undang-undang dan Kejuruteraan Mekatronik.
Sebagai universiti teknikal yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan, teknologi, industri dan pendidikan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), UMPSA berpotensi menyumbang kepakaran dalam pembangunan program akademik MUB, khususnya dalam aspek pembangunan kurikulum, penandaarasan dan jaminan kualiti.
Kerjasama itu turut menjadi kesinambungan kepada jaringan akademik UMPSA yang sedia terbina di Iraq, dengan universiti berkenaan kini mempunyai enam rakan strategik dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara itu.
Rakan strategik berkenaan ialah University of Technology, Baghdad, Al-Mustaqbal University, Al-Maarif University College, Al-Ayen Iraqi University, Al-Farahidi University dan KUT University College.
Jaringan tersebut telah diterokai menerusi pelbagai aktiviti termasuk penerbitan bersama, penganjuran persidangan dan simposium, penyelidikan, perkongsian kepakaran serta penglibatan dalam geran antarabangsa.
Menurut Yatimah, jaringan kerjasama yang sedia ada menjadi asas penting kepada UMPSA untuk memperluas agenda pengantarabangsaan ke rantau Timur Tengah, selain membina perkongsian akademik yang lebih strategik dan berimpak.
Hubungan akademik UMPSA dengan institusi pendidikan tinggi Iraq turut diperkukuh menerusi sokongan Kedutaan Republik Iraq di Malaysia, khususnya dalam menghubungkan universiti itu dengan institusi pendidikan tinggi serta rakan strategik di Iraq.
Majlis pemeteraian itu turut dihadiri Penasihat kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Iraq merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MUB Prof Dr. Talal Yusaf; Kaunselor Kebudayaan, Kedutaan Republik Iraq di Kuala Lumpur ProfMadya Dr. Abduljaleel M. Mageed dan Presiden MUB Professor Dr. Ismail Abd Rahman bersama barisan kepimpinan kedua-dua institusi.


Leave a Reply