Home / Utama / IKBN Peretak, UPSI perkasa penghayatan ibadah dan sahsiah belia

IKBN Peretak, UPSI perkasa penghayatan ibadah dan sahsiah belia

KUALA KUBU BHARU— Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Selangor memperkukuh usaha membentuk sahsiah dan penghayatan agama dalam kalangan belia menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Ulul Albab UPSI, Persatuan Turath Islami dan I-Furqan UPSI.

Kerjasama itu direalisasikan menerusi Program Latihan Citra Ibadah: Cintai Solat & Al-Quran yang berlangsung selama tiga hari dari 14 hingga 16 Ogos dengan penyertaan 114 peserta.

Program berkenaan memberi penekanan terhadap penguasaan, pemahaman dan penghayatan ibadah secara menyeluruh melalui pendekatan pembelajaran sistematik, praktikal serta berorientasikan amalan.

Antara pengisian utama termasuk pengukuhan bacaan al-Quran, asas hukum tajwid dan makhraj huruf, penghayatan surah pilihan serta pemantapan kefahaman berkaitan pelaksanaan ibadah khususnya solat.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Peretak, Shahdan Zainal berkata penghayatan ibadah perlu diterapkan secara berterusan dalam kehidupan pelajar dan tidak terhad kepada aspek pengetahuan teori semata-mata.

“Penghayatan ibadah bukan hanya tentang mengetahui cara melaksanakannya, tetapi memahami, menghayati dan membudayakannya dalam kehidupan seharian.

“Usaha seperti ini penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi turut mempunyai sahsiah dan jati diri yang kukuh,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh berkata kerjasama strategik antara UPSI dan IKBN Peretak menjadi platform penting dalam memperluas peranan institusi pendidikan dalam membangunkan generasi belia yang seimbang dari aspek ilmu, kemahiran, sahsiah dan kerohanian.

“Pusat Ulul Albab UPSI melihat program seperti ini sebagai wadah untuk menterjemahkan ilmu kepada amalan kerana penghayatan al-Quran dan ibadah bukan sekadar penguasaan teori, sebaliknya perlu dibentuk melalui kefahaman, latihan dan pembudayaan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata jalinan berkenaan diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih luas antara UPSI dan IKBN Peretak dalam bidang pembangunan sahsiah, kerohanian, kepimpinan dan pembinaan karakter belia.

Program itu turut melibatkan tiga penceramah iaitu Dr. Samsuddin Abd Hamid, Dr. Muhammad Nazirul Mohd Sabri dan Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari.

Kelancaran program diperkukuh dengan penglibatan 10 fasilitator daripada Persatuan Turath Islami dan I-Furqan UPSI yang memberikan bimbingan serta membantu peserta sepanjang sesi pembelajaran.

Jalinan strategik antara IKBN Peretak dan UPSI itu mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluas peranan pendidikan yang bukan sahaja berteraskan pembangunan kemahiran, malah memberi penekanan terhadap pembentukan akhlak, nilai dan jati diri.

Kerjasama berkenaan diharap dapat diteruskan dan diperkasakan menerusi pelbagai program pembangunan sahsiah dan kerohanian, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi belia berilmu, berkemahiran, berakhlak serta mampu menghayati dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *