KOTA BHARU– Seramai 702 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak bakal berpeluang merasai pengalaman ‘belajar di U’ menerusi Program Interaktif Jom Masuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), termasuk mengikuti modul ‘Let’s Speak English’ dan Program Memperkasa STEM.
Naib Canselor UMK Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata modul ‘Let’s Speak English’ bertujuan meningkatkan keyakinan murid untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, manakala Program Memperkasa STEM dirangka bagi menyemai minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
“Melalui aktiviti praktikal dalam program STEM, ia dijangka dapat menyemai minat yang mendalam dalam kalangan murid terhadap bidang sains dan matematik, di samping menggalakkan mereka berfikir secara lebih kreatif, kritis dan inovatif.
“Inisiatif oleh UMK melalui program Sekolah Angkat Madani (SAM) ini dilihat mampu menyuntik motivasi baharu kepada para murid untuk terus cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani (SAM) SK Bukit Marak di Dewan SMarak, Bukit Marak, semalam.
Arham berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan menerusi program SAM 2026 di sekolah berkenaan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif meliputi peningkatan prasarana pembelajaran, penguasaan STEM dan bahasa Inggeris, sukan, kesihatan, pembangunan sahsiah, kebajikan murid serta pemerkasaan guru melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Program Sekolah Angkat Madani UMK ini merupakan kali kedua diadakan selepas kejayaan pelaksanaannya di SK Raja Bahar, Kota Bharu pada 2025. Pada tahun ini, SK Bukit Marak dipilih sebagai rakan kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan serta membangunkan potensi murid secara menyeluruh melalui fokus yang lebih sistematik,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan SAM tahun ini merangkumi tiga komponen utama dengan UMK memberi tumpuan kepada Program Menaik Taraf Prasarana Asas Sekolah yang diperuntukkan RM80,000.
Menurutnya, penambahbaikan itu melibatkan naik taraf Pusat Sumber Sekolah yang turut menjadi Perpustakaan Angkat UMK sejak 2020, pembelian TV interaktif bagi pengajaran dan pembelajaran serta penyediaan Smart TV di empat kelas Tahun Enam.
Turut dilaksanakan ialah naik taraf 10 unit meja komputer dan akses internet, penyediaan capaian internet menyeluruh di kawasan sekolah serta penambahbaikan peralatan Studio Rakaman Podcast TVSS sekolah dan kemudahan sokongan pembelajaran lain.
Arham berkata UMK turut melaksanakan Program Sokongan Strategik meliputi aspek kesihatan, sukan, bimbingan akademik, pembangunan sahsiah dan kebajikan murid.
“Antara program yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan dan kesedaran kesihatan, pemeriksaan gigi, klinik bola sepak dan bola jaring, program kecergasan, bimbingan kecemerlangan akademik, kesihatan mental dan pembangunan sahsiah murid serta penyampaian bantuan kebajikan atau zakat.
“UMK juga akan membantu guru memanfaatkan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ini akan dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama pusat tanggungjawab (PTJ) dalaman UMK,” katanya.


Leave a Reply