Hulu Selangor – Kehadiran seramai 60 pelajar ijazah sarjana mudan sarjana Universitas Muhammadiyah Pontianak (UMP), Indonesia bergotong-royong bersama penduduk Kampung Gesir Tengah hari ini sangat dihargai dan mendapat pujian masyarakat setempat.
Ketua Kampung, Gesir Tengah, Ahmad Jawawi Enjah berkata kehadiran mereka dari Indonesia itu adalah satu rahmat dalam membantu penduduk membersihkan kawasan persekitaran masjid walaupun hanya separuh hari.
“Program yang diadakan dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berjaya merapatkan hubungan antara universiti luar negara dan penduduk kampung,” katanya.
Seawal pukul 8.00 pagi, sarapan diberikan olehJawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum penduduk dan pelajar memulakan kerja memangkas ranting pokok yang turut dibantu kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor ( MDHS) dan warga masjid.
Rektor UMP, Dr Heriansyah menyifatkan program Pengabdian Kemasyarakatan Internasional dengan kerjasama UPSI itu sangat bermakna dalam memberi pendedahan kepada pelajar melaksanakan khidmat masyarakat merentas sempadan negara.
“Pastinya program sebegini memberi pengalaman baharu kepada pelajar dalam berbakti kepada masyarakat khususnya komuniti Kampung Gesir Tengah.
Beliau berkata selain membersihkan di ruang dalam dan halaman masjid, pelajar turut menanam pokok-pokok bunga sumbangan MDHS di persekitaran masjid.
Katanya, pelajar sarjana perubatan pula membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma yang mendapat sambutan baik masyarakat.
” Ini adalah kali pertama kami melaksanakan program berstatus antarabangsa di sini dan sangat berterima kasih atas segala layanan baik penduduk,” katanya.
Pengerusi Masjid Kampung Gesir Ruslan Ngah Mat Daud berkata bagi tahun 2026, ini adalah kali ketiga program kemasyarakatan diadakan yang membabitkan pelajar universiti dan dijangka pada penghujung tahun ini satu lagi program seumpanya akan diadakan.
“Kami sentiasa mengalu-alukan hasrat warga universiti sama di dalam atau luar negara untuk melaksanakan program yang berfaedah untuk masyarakat terutamanya dalam membersih dan mencantikkan persekitaran kampung dan masjid,” katanya.


Leave a Reply