Home / Utama / HASBUDI 2026 hargai karya kreatif ahli BUDIMAN, Bukhary Lubis penerima Anugerah Tokoh Budiman

HASBUDI 2026 hargai karya kreatif ahli BUDIMAN, Bukhary Lubis penerima Anugerah Tokoh Budiman

oleh Dr Ghazali Din 

Tanjong Malim- Majlis penyampaian Hadiah Sastera dan Bahasa BUDIMAN (HASBUDI) 2026 yang berlangsung Selasa lalu menyaksikan seramai 13 pemenang diraikan di Dewan Bankuet, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan pada majlis yang bertemakan “Wibawa dan Prestij” itu.
Dalam ucapannya Dr Zulkifli yakin dengan peranan yang dimainkan penulis, sasterawan dan aktivis yang giat membangun dan memajukan sastera serta bahasa Melayu sebagai usaha yang murni sejajar dengan usaha kerajaan yang sentiasa komited memastikan bahasa dan sastera Melayu terus diperkasa.
“Jadi saya percaya di sinilah para penulis, pengarang, penyair, penyajak, sasterawan, pengkritik sastera, ahli-ahli akademik dan mahasiswa boleh berperanan menurut konteks kepakaran masing-masing, dan saling berganding bahu menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu ke arah pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Justeru, katanya,  tugas untuk membawa masyarakat ke arah kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan menjadi tanggungjawab kita semua. Ia tidak terbatas kepada kerajaan semata-mata, dan pelbagai pendekatan boleh diambil dengan kemampuan dan kesesuaian kepakaran yang masing-masing miliki untuk dimanfaatkan,” katanya.
Beliau turut menyingkap lipatan sejarah, tokoh-tokoh sasterawan di Malaysia seperti Usman Awang, Keris Mas, Arena Wati, Abdullah Hussain dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh besar yang sentiasa memperjuangkan usaha pembinaan masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera, malah tiada sesiapa boleh menafikan sumbangan besar karya-karya sastera yang bersifat malar segar (evergreen), yang penuh dengan kritik sosial, keprihatinan terhadap nilai-nilai manusiawi dan yang menggemakan semangat zaman (zeitgeist), sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi.
“Daripada karya-karya besar oleh pengarang yang berjiwa besar ini kita dapat menghayati pemikiran mereka yang mementingkan keharmonian hidup masyarakat dengan perkongsian nilai dan kebersamaan membangunkan kehidupan dalam negara yang berbilang kaum dan budaya,” katanya.
Pada majlis itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Bukhari Lubis atau nama penanya Rizi S.S dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Budiman Malaysia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta sijil penghargaan dan sebuah trofi.
Beliau yang dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada 16 Ogos 1953 adalah seorang pengkaji bidang sampingan atau bidang pengajaran/penyelidikannya pula ialah Kajian Manuskrip Melayu/Arab, Terjemahan Arab – Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Parsi, Sistem Tulisan Jawi (ejaan dan khat), Seni Islami, Tasawuf, dan Sejarah/Tamadun Islam.
Beliau adalah antara ahli terawal sejak BUDIMAN  ditubuhkan pada tahun 2011 dan pernah menjadi ahli jawatankuasa serta terlibat dalam pelbagai kegiatan persatuan.
Hadiah utama kategori  Buku Umum (Sastera Melayu) dimenangi Azhar Wahid dengan judul Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu,  manakala Anida Sarudin kategori buku umum (Bahasa Melayu) dengan judul   “Metafora Floriografi dalam  Pantun sebagai Pencitraan” serta Kategori: Artikel Jurnal (Sastera) Judul: Gagasan Worldview AHS Memartabatkan Pembangunan Pendidikan dan Pembinaan Identiti Bangsa dengan judul “ Kecerdasan Emosi dalam Perwatakan Pemimpin Berdasarkan Novel Paradoks karya Afifuddin Omar” dimenangi oleh Nordiana Hamzah.  Azhar Wahid turut memenangi hadiah sagu hati Kategori: Artikel Jurnal (Sastera) dengan judul “Gagasan Worldview AHS Memartabatkan Pembangunan Pendidikan dan Pembinaan Identiti Bangsa” .
Hadiah Utama kategori Esei (Sastera) dimenangi Ghazali Din  dengan esei berjudul “Ziarah Kedah: Negeri Tiga SasterawanNegara”, manakala hadiah saguhati dimenangi oleh Ariff Mohamad dengan judul “Daripada Kisah kepada Hikmah” dan Mohd Hazreen Shah Hassan kategori Esei(Bahasa Melayu) dengan tajuk “Pertempuran Idea Membina Minda atau Menjatuh Wacana”.
Bagi kategori Rencana (Sastera), hadiah saguhati dimenangi oleh Abang Patdeli Abang Muhi dengan judul “Membaca Nuansa Kota dan Cinta dalam Antologi Puisi Miri Kota Cinta”. Hadiah utama kategori Rencana (Bahasa Melayu) dimenangi Anida Sarudin dengan tajuk “Pengupayaan Kecerdasan  Buatan Mengemudi Pembelajaran Bahasa Melayu”, manakala Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi memenangi hadiah saguhati dengan tajuk “Luka Halus yang Membarah”.
Kategori Sajak Eceran, Hadiah Utama  (Tempat Pertama) disandang oleh Norawi Hj. Kata (Allahyarham) dengan sajak berjudul “Ketika Senja Mengakari Pohon”; Hadiah Utama  (Tempat Kedua), Ariff Mohamad (“Kecintaanku Dari Hati”), manakala Hadiah Utama ( Tempat Ketiga), Ghazali Din dengan sajak berjudul “Tatkala Sendirian Ingin Kukatakan”.
Hadiah saguhati dimenangi Solihin Osman dengan sajak berjudul “Dirgahaya Taman Nusa” dan “Roh Puisi”.
Norazimah Zakaria memenangi Hadiah Utama Kategori Cerpen menerusi cerpen bertajuk “ Jelitawan Terpedaya”, manakala hadiah saguhati dimenangi oleh Norawi Hj. Kata menerusi cerpennya “Mutiara di Tengah Sawah”.
Kategori Puisi Tradisional pula menyaksikan Rahimah Hamdan memenangi Hadiah Utama menerusi karya bertajuk “Amanat Munsyi Abdullah”
Majlis turut dihadiri Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato’  Dr Khalid Ismail serta Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Rosmani Omar.
Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali berkata HASBUDI kali pertama diadakan bertujuan menyemarakkan  dunia kesusasteraan tanah air demi menghargai hasil karya ahli persatuan yang terbukti berkualiti yang dinilai juri profesional.
Beliau berkata HASBUDI 2026 dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik, DBP serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI.
“Walaupun inilah majlis penghargaan kali pertama, namun sokongan berterusan rakan strategik memungkinkan BUDIMAN untuk meneruskannya pada masa akan datang dengan hadiah lebih besar,” katanya.
Beliau berharap ahli-ahli BUDIMAN terus produktif berkarya dalam kategori yang dinilai termasuklah novel, cerpen, sajak, puisi tradisional, esei kritikan dan umum, buku ilmiah, artikel jurnal serta rencana.
BUDIMAN, katanya, sebuah badan bukan kerajaan yang berteraskan usaha memaju, mengembangkan serta memperkasa bidang sastera, bahasa, seni, budaya dan peradabana Melayu bertekad untuk menggerakkan usaha mengadakan HASBUDI 1.0  sebagai satu inisiatif berwibawa bagi mengiktiraf atas kecemerlangan  penulis persatuan ini.
“Keterlibatan ahli Budiman Malaysia sejak 16 tahun ditubuhkan sangatlah berimpak dalam konteks membangunkan sastera dan bahasa Melayu di negara ini. Sudah pasti sumbangan mereka wajar diberi pengiktirafan dan dihargai,” katanya.
Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM