oleh Editorial KampusKini
JOHOR BAHRU– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan kejayaan pegawai muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dan Laut universiti itu yang ditauliahkan pada 12 Sept lepas menerusi Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) PALAPES UTM di sini, semalam.
Majlis yang berlangsung di Hotel Holiday Villa itu diadakan bersempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-44 Tahun 2026.
Naib Canselor UTM merangkap Komandan PALAPES UTM Kolonel (K) Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata latihan ketenteraan bukan sahaja membentuk disiplin dan ketahanan diri, malah memupuk kepimpinan, tanggungjawab serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Beliau berkata nilai berkenaan perlu berteraskan adab, integriti, amanah dan rasa hormat terhadap orang lain bagi melahirkan pegawai muda yang berwibawa.
Menurutnya, pembangunan pegawai muda PALAPES UTM turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya teras Global Talent yang menekankan pembentukan graduan holistik, berdaya saing dan memiliki sahsiah terpuji.
Beliau turut mengingatkan pegawai muda bahawa pentauliahan dan pangkat yang disandang membawa amanah serta tanggungjawab lebih besar, manakala kepimpinan sebenar dinilai melalui kebijaksanaan membuat keputusan, keberanian mempertahankan integriti dan kesediaan memikul tanggungjawab.
Pentauliahan itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin dan ketahanan diri pegawai muda dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan ketenteraan.
Majlis turut menghargai peranan jurulatih, barisan kepimpinan PALAPES UTM serta ibu bapa dan keluarga yang menyokong perjalanan pegawai muda sehingga berjaya ditauliahkan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan seni budaya dan sesi bergambar yang mengeratkan hubungan dalam kalangan warga PALAPES UTM, pegawai latihan, alumni serta tetamu jemputan.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Leave a Reply