oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Kemajuan kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan, integriti dan keadilan sosial bagi memastikan teknologi itu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun, penggunaan AI tidak seharusnya tertumpu kepada usaha memaksimumkan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira prinsip etika dan kesejahteraan manusia.
“Menginsankan AI bermaksud mengimbangi keupayaan teknologi dengan integriti moral, kearifan tempatan dan nilai kemanusiaan. Teknologi tidak harus dilihat semata-mata sebagai alat untuk memaksimumkan keuntungan, tetapi sebagai instrumen memelihara kesejahteraan insan dan keadilan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan The 4th International Conference on Accounting, Management and Economics (ICAME 2026) anjuran Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UPSI yang berlangsung di kampus universiti itu pada 17 hingga 18 Oktober lalu.
Persidangan bertemakan “Humanizing AI for Sustainable and Ethical Value Creation in Islamic Finance, Accounting, Management and Economics Research” itu menghimpunkan lebih 77 peserta bagi membincangkan penerapan AI dalam penyelidikan kewangan Islam, perakaunan, pengurusan dan ekonomi.
Raja Nor Safinas berkata penggunaan AI secara beretika berpotensi meningkatkan ketepatan analisis pengagihan zakat dan wakaf kepada golongan yang memerlukan, selain memperkukuh ketelusan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta tadbir urus korporat.
Beliau berkata penyelarasan teknologi AI dengan prinsip Maqasid al-Shariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) juga berpotensi menyokong pembentukan ekosistem ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.
Persidangan itu turut menampilkan sarjana ekonomi dan kewangan Islam dari Durham University Business School, United Kingdom, Prof. Dr. Mehmet Asutay sebagai penyampai ucaptama.
Pengisian hari kedua merangkumi bengkel oleh Prof. Madya Dr. Linda Sue Hammonds dari University of South Alabama dan Dr. Nurul Fadly Habidin, Pengerusi Koperasi Profesional Perunding Berhad (KOPRUNDING).
Selain pembentangan kertas kerja secara selari dan pertandingan video inovasi, ICAME 2026 turut membuka ruang kerjasama penyelidikan antarabangsa bersama Lagos State University, Nigeria dan Universitas Negeri Padang, Indonesia.
Persidangan itu juga menyediakan peluang penerbitan hasil penyelidikan melalui jurnal berindeks MyCite dan Scopus, tertakluk kepada proses penilaian serta syarat penerbitan jurnal berkenaan.


Leave a Reply