oleh Fairus Muhamad Darus
Shah Alam – Lima mahasiswa baharu Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan asnaf menerima bantuan keseluruhan bernilai RM1,000 menerusi Program Ziarah FSG bagi membantu menampung kos persediaan memasuki universiti.
Setiap mahasiswa menerima bantuan bernilai RM200, merangkumi barangan keperluan asas bernilai RM100 dan wang tunai RM100 yang diserahkan semasa kunjungan ke kediaman masing-masing.
Bantuan tersebut dibiayai melalui sumbangan Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM sebanyak RM400 serta dana Inisiatif FSG CARE sebanyak RM600.
Inisiatif FSG CARE merupakan saluran sumbangan bagi membantu kebajikan mahasiswa FSG UiTM Shah Alam, termasuk penyediaan makanan, minuman dan keperluan pelajar.
Antara barangan yang disumbangkan termasuklah cadar, selimut, beg galas, kelengkapan penjagaan diri dan makanan kering untuk kegunaan mahasiswa di kampus.
Program yang berlangsung dari 15 hingga 17 September 2026 itu melibatkan kunjungan wakil fakulti ke kediaman penerima di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Lawatan tersebut dilaksanakan bagi membantu persediaan mahasiswa menjelang sesi pengajian Oktober 2026 hingga Februari 2027.
Kunjungan diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSG, Prof. Madya Dr. Asmida Ismail, dengan penyertaan wakil pusat pengajian, pensyarah dan penyelaras kebajikan fakulti.
Program ini turut menyokong usaha Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM dengan kerjasama ZAWAF dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa yang memerlukan bantuan pada peringkat awal pengajian.
Selain menyampaikan sumbangan, kunjungan ke kediaman penerima membolehkan pihak fakulti bertemu dengan keluarga mahasiswa, memahami kekangan kewangan yang dihadapi serta memberikan sokongan moral sebelum mereka memulakan kehidupan di universiti.


Leave a Reply