oleh Editorial KampusKini
PUTRAJAYA – Mahasiswa Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Muhammad Shukrie Hanafie Muzafar, merangkul Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT) sebagai wakil Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026, baru-baru ini.
Shukrie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SEEDS Enterprise menerima pengiktirafan itu menerusi kepimpinan dalam bidang keusahawanan sosial yang memberi manfaat kepada lebih 150 pesakit, khususnya pesakit kronik dan warga emas, melalui penyediaan akses kepada katil hospital.
Inisiatif SEEDS turut merekodkan nilai terdokumentasi RM161,382, merangkumi RM99,382 hasil jualan dan RM62,000 dalam bentuk tajaan sepanjang pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Selain mengetuai SEEDS, Shukrie pernah menggalas tanggungjawab sebagai Exco Akademik Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PSA dan turut menerima Anugerah TVET Star Kategori Keusahawanan 2025.
Beliau bersama pasukannya turut dinobatkan sebagai Johan Young Socialpreneur Programme All Starz 2025 dan menerima Anugerah CEO Terbaik program berkenaan.
Kejayaan itu mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, yang menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian Shukrie dalam mengharumkan nama POLYCC di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Pengarah PSA, A. Azman Arshad, turut merakamkan tahniah kepada Shukrie dan pasukan SEEDS, selain menghargai sumbangan mentor serta warga PSA yang menyokong pembangunan inisiatif berkenaan.
SEEDS turut mendapat sokongan Premier Entrepreneurship Centre (PEC), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) serta warga PSA dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif keusahawanan sosial tersebut.
ATSN 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan platform pengiktirafan terhadap mahasiswa yang menyerlah dalam kepimpinan, pencapaian, inovasi dan sumbangan kepada masyarakat serta negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)


Leave a Reply