oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM – Seramai 11,299 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran kemanusiaan dan sastera ikhtisas (KSI) berjaya ditransformasikan ke bidang teknologi dan kejuruteraan menerusi laluan pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata perkembangan itu membuktikan peranan POLYCC dalam memperluas akses pendidikan dan menyediakan laluan kepada lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ini merupakan sesuatu yang amat kita nantikan dan tunggukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Tengah Tahun 2026 Sidang ke-6 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Beliau berkata POLYCC kini mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara, disokong kira-kira 15,000 warga kerja terdiri daripada pensyarah serta tenaga sokongan.
Menurutnya, kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2026/2027 ke politeknik turut mencatatkan 32,513 orang, meningkat 138 peratus, manakala jumlah enrolmen semasa POLYCC kini melebihi 100,000 pelajar di seluruh negara.
“Di Perak sahaja terdapat tiga politeknik dan 13 kolej komuniti, manakala laluan pendidikan turut diperluas melalui pendigitalan dan pembelajaran fleksibel bagi membangunkan bakat negara,” katanya.
Aminuddin berkata peluang melanjutkan pengajian turut diperluas kepada golongan bekerja menerusi Politeknik METrO, selain pengiktirafan Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) sebagai salah satu syarat kemasukan rasmi.
Beliau berkata langkah itu selari dengan usaha memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dan memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif kepada masyarakat.
Dalam pada itu, katanya komitmen POLYCC terhadap pembelajaran sepanjang hayat mendapat sambutan masyarakat dengan politeknik merekodkan 413,639 penyertaan dalam 15 bidang kemahiran, manakala kolej komuniti mencatat lebih 4.2 juta penyertaan dalam 22 bidang kursus.
“Komuniti setempat kini sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri,” katanya.
Menyentuh agenda pengantarabangsaan, Aminuddin berkata seramai 701 pelajar POLYCC menyertai program pertukaran ke luar negara, termasuk 64 pelajar yang mengikuti bidang Railway Technology di China menerusi program dwi-diploma dengan jaminan pekerjaan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Beliau berkata kejayaan POLYCC turut dipacu sinergi strategik bersama 23,580 rakan industri bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
“Kolaborasi ini merangkumi syarikat multinasional dan pemain industri seperti PKT Logistics, MAF, MBAM, Maybank, CIDB, Petronas dan CyberSecurity,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata seramai 29,609 graduan POLYCC diraikan menerusi enam majlis konvokesyen mengikut zon di seluruh negara, dengan 6,862 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Tengah Tahun 2026.
Daripada jumlah itu, seramai 4,581 merupakan graduan politeknik manakala 2,281 graduan kolej komuniti.


Leave a Reply