oleh Editorial KampusKini
SHAH ALAM – Seramai 250 peserta Pandu Puteri dari pelbagai daerah di Selangor menyertai Beyond the Badges: EmpowerHer Leadership Workshop di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini hari ini bagi memperkasa keyakinan, kemahiran dan keupayaan kepimpinan generasi muda.
Program yang berlangsung di Dewan Al-Jazari, PSA itu turut memberi penekanan kepada pembangunan wanita muda melalui aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman, interaktif dan simulasi merangkumi kemahiran, rekreasi fizikal, khidmat masyarakat serta pengembaraan.
Pengarah PSA Tuan A. Azman Arshad berkata pembangunan kepimpinan generasi muda tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Beliau berkata penglibatan dalam badan beruniform seperti Pandu Puteri dapat memberikan pengalaman yang membantu golongan muda membina keyakinan diri, keberanian membuat keputusan, daya tahan serta kemahiran berkomunikasi dan bekerja dalam pasukan.
“Pada hari ini, kita bukan sekadar menghimpunkan 250 peserta di bawah satu program, tetapi sebenarnya kita menghimpunkan 250 potensi, 250 suara dan 250 perjalanan kepimpinan.
“Manfaatkan ruang ini untuk mengenali potensi diri, belajar daripada orang lain dan membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
A. Azman berkata Beyond the Badges: EmpowerHer Leadership Workshop turut memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman, meneroka potensi diri, membina jaringan dan memperkukuh keupayaan untuk mengambil peranan lebih besar dalam masyarakat.
Beliau berkata program itu merupakan kesinambungan inisiatif pembangunan belia yang sebelum ini dilaksanakan menerusi EmpowerHer 2025 dan turut mendapat kerjasama Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) berasaskan kerangka The Duke of Edinburgh’s International Award.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Malaysia, ARPRM, institusi pendidikan dan rakan strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta jaringan kepimpinan golongan muda.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pesuruhjaya Cawangan Selangor, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Aisah Ibrahim.
A. Azman turut menyeru peserta memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sebagai pemangkin untuk terus mengembangkan potensi, meningkatkan keyakinan serta menterjemahkan kemahiran kepimpinan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)


Leave a Reply