oleh Editorial KampusKini
TANJONG MALIM – Pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) menjadi landasan buat graduan Diploma Geomatik Politeknik Ungku Omar (PUO), Roas Noah Zachery, 22, mengembangkan potensi dalam bidang akademik dan seni tanpa mengetepikan identiti serta warisan masyarakat Orang Asli.
Roas yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.97 turut aktif dalam seni muzik tradisional sehingga diberi peluang membuat persembahan di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah mewakili Malaysia sebagai pemuzik tradisional pada Festival Malaysia 2025 di Sydney, Australia, sekali gus membawa seni muzik tradisional negara ke pentas antarabangsa.
“Semangat saya adalah untuk membangkitkan jati diri Orang Asli dalam kalangan anak-anak muda Gen Z dan memelihara khazanah budaya agar tidak hilang.
“Seberjaya mana pun kita, jangan lupa asal usul kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.
Roas merupakan antara penerima diploma pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata pencapaian Roas membuktikan graduan TVET berupaya menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik dan kemahiran teknikal, malah dalam bidang seni, kebudayaan serta persembahan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata perjalanan kejayaan Roas turut memperlihatkan bahawa pendidikan TVET boleh menjadi platform untuk graduan mengembangkan bakat dan potensi diri sambil terus membawa identiti serta warisan masyarakat Orang Asli.
Kejayaan Roas turut menjadi contoh bahawa pencapaian akademik dan penguasaan kemahiran boleh bergerak seiring dengan usaha memelihara serta memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat lebih luas.


Leave a Reply