oleh Ikhwan Abdul Kassim
LENGGONG – Hampir 100 pemimpin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah menyertai Program Sekolahku Universitiku (SKUK) 19.0: Pembinaan Karakter Generasi MADANI bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan, disiplin dan jati diri.
Program selama tiga hari dua malam bermula 18 hingga 20 September itu merupakan kerjasama antara SMK Sultan Azlan Shah dan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) 26/27, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penganjuran program itu memberi pendedahan kepada pemimpin muda sekolah menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka bagi membentuk individu berdisiplin, berdaya tahan, amanah, berkeyakinan, berilmu dan berakhlak mulia.
Pengetua SMK Sultan Azlan Shah Zubaidah Yasin berkata program berkenaan turut menekankan kepentingan pengurusan masa dalam membentuk disiplin pemimpin pelajar.
“Saya berharap program ini mampu menjadikan pemimpin muda di sekolah ini sentiasa berdisiplin dengan pengurusan masa seperti sentiasa datang lebih awal ke sekolah daripada pelajar lain,” katanya.
Program yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan itu turut mengintegrasikan lima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu Good Health and Well-Being, Quality Education, Affordable and Clean Energy, Reduced Inequalities dan Partnership for the Goals.
Pada majlis penutupan, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Badrul Hisyam Yahaya berkata pembentukan kepimpinan sejak bangku sekolah penting bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada sekolah dan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Program SKUK 19.0 Nur Athirah Marjuhum merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas kepercayaan diberikan kepada MMKZ untuk mengendalikan program berkenaan.
Beliau turut memberi pendedahan mengenai UPSI kepada peserta serta mengingatkan mereka supaya memberi perhatian kepada kecemerlangan akademik di samping menjaga adab dan tingkah laku.
Program SKUK 19.0 diharap dapat memberi nilai tambah kepada peserta dalam membangunkan kemahiran kepimpinan serta membentuk pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan sekolah.


Leave a Reply