oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah
BANGI– Lebih 500 murid daripada 38 Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Bangi menyertai Pertandingan Alam Ria 2026 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kampus Putrajaya, baru-baru ini bagi mencungkil bakat dan membina keyakinan diri sejak usia awal.
Pengarah program Muhammad Hanif Ahmad Sabri berkata Alam Ria bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada murid berusia lima dan enam tahun mengembangkan kemahiran komunikasi, keberanian tampil di hadapan khalayak serta potensi diri.
“Alam Ria memberi ruang dan peluang kepada murid untuk membina keyakinan diri, keberanian tampil di hadapan khalayak serta mengasah kemahiran yang mungkin tidak dapat diketengahkan melalui proses pembelajaran di dalam kelas.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai kemampuan berkomunikasi dan jati diri yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata pertandingan itu melibatkan 11 acara termasuk azan, sajak lelaki dan perempuan, pidato, bercerita, hafazan, nasyid, khutbah dan kalam jamaie.
Menurutnya, peserta dinilai berdasarkan kriteria berbeza mengikut acara termasuk ketepatan isi, hafalan, sebutan, penguasaan suara, kelancaran, penghayatan, gaya penyampaian dan keyakinan.
“Yang penting ialah peserta bukan sahaja menghafal atau menyampaikan sesuatu, tetapi mampu menyampaikannya dengan baik, yakin dan penuh penghayatan,” katanya.
Hanif berkata kejayaan penganjuran turut didorong kerjasama guru pembimbing, ibu bapa dan urus setia yang membantu peserta membuat persediaan sebelum pertandingan.
Beliau berkata juara setiap acara akan mewakili Kawasan Bangi ke pertandingan peringkat negeri Selangor, sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pertandingan itu, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Iman muncul juara keseluruhan.


Leave a Reply