oleh Editorial KampusKini
PAUH PUTRA– Seramai 1,885 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) daripada 20 universiti awam (UA) seluruh negara ditauliahkan sebagai Pegawai Muda pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah PALAPES UA Ke-44 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.
Istiadat yang berlangsung di Padang Kawad UniMAP itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP.
Daripada jumlah itu, seramai 1,218 Pegawai Muda ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 389 orang ke Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 278 orang ke Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Pentauliahan berkenaan menandakan bermulanya tanggungjawab baharu para Pegawai Muda sebagai anggota pasukan simpanan ATM selepas menamatkan latihan PALAPES di universiti masing-masing.
Turut berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda Sharifah Farah Adriana.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan menerima Anugerah Pedang Kehormat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan sepanjang menjalani latihan PALAPES.
Selain perbarisan pentauliahan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan Watikah Tauliah kepada Pegawai Muda dalam majlis di Dewan Tuanku Canselor UniMAP, yang disusuli Bacaan Ikrar Taat Setia Perwira.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Ts Dr Haji Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman serta Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Ts Dr Zaliman Sauli.
UniMAP buat julung kalinya menjadi tuan rumah istiadat pentauliahan PALAPES UA berkenaan yang turut membuka ruang kepada masyarakat mendekati aset dan keupayaan pertahanan negara.
Antara pengisian yang berlangsung dari 10 hingga 12 September ialah pameran aset statik darat, laut dan udara serta demonstrasi terjun bebas, Tempur Tanpa Senjata, ikhtiar hidup dan pertunjukan anjing perang di sekitar Padang Kawad dan Dataran Boulevard UniMAP.
Penganjuran itu sekali gus menjadi platform pembentukan generasi muda yang memiliki disiplin, kepimpinan, keberanian dan semangat patriotisme selain memberi peluang kepada masyarakat memahami peranan pasukan simpanan dalam sistem pertahanan negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi


Leave a Reply