oleh: editorial KampusKini
GOMBAK– Permainan bahasa SAHIBBA terus mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila 11 pasukan dari pelbagai kulliyyah menyertai Kejohanan Permainan SAHIBBA Peringkat UIAM 2026 di Wadi Budi.
Ketua Divisyen Bahasa Melayu (DBM), Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Prauniversiti (CELPAD) UIAM, Mohd Fauzan Mat Jam Jam berkata sambutan itu membuktikan permainan berasaskan bina dan jalin perkataan tersebut masih relevan dalam kalangan generasi muda walaupun berdepan arus pemodenan permainan digital.
“Permainan SAHIBBA Bahasa Melayu tetap relevan dan diminati oleh generasi muda. Walaupun berdepan dengan arus pemodenan permainan digital, SAHIBBA terus mendapat tempat dalam hati mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata permainan itu bukan sahaja dapat memperkaya kosa kata bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu, malah memberi ruang kepada generasi muda untuk berehat daripada kebiasaan menatap skrin telefon pintar.
Kejohanan bertemakan “Bitara Aksara: Martabat Bahasa, Jiwa Merdeka” itu dianjurkan DBM CELPAD dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus menjadi wadah memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Sebanyak 11 pasukan mewakili pelbagai kulliyyah dari kampus Gombak, Kuantan dan Pagoh mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan, termasuk Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), serta Kulliyyah Perubatan (KOM).
Persaingan sengit menyaksikan KICT muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM400, hamper, sijil serta buku tajaan DBP, manakala KSTCL di tempat kedua dengan hadiah RM200 dan KOM di tempat ketiga menerima RM160, selain hamper, sijil dan buku.
Nurina Imanina Mohamad Razali dari KSTCL pula dinobatkan sebagai Bintang SAHIBBA selepas mengungguli keseluruhan kejohanan dengan kutipan mata tertinggi dalam semua pusingan permainan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat CELPAD, Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata penganjuran kejohanan itu wajar diteruskan sebagai usaha membudayakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan warga UIAM.
Beliau turut menyeru warga UIAM supaya sentiasa memartabatkan bahasa Melayu dan berbangga menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Ketua Pengadil merangkap Ketua Pengarah Program, Siti Zafira Zainal Abidin berkata kejohanan itu berpotensi diperluaskan pada masa hadapan dengan penyertaan kakitangan UIAM.
Ketua Penyelaras Program, Kama Rusdi M Kamaruzlan pula berpandangan kejohanan berkenaan wajar dijadikan acara tahunan kerana bukan sahaja memperkasakan bahasa Melayu menerusi permainan SAHIBBA, malah memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai bidang.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Leave a Reply