oleh Editorial KampusKini
KOTA KINABALU – Seramai 101 pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliahkan tahun ini selepas berjaya melengkapkan pelbagai latihan dan kursus berkaitan pengurusan kecemasan serta bencana.
Pentauliahan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yang Amat Setia Ketua Pesuruhjaya Mohammad Abiddin Abd Rahman pada majlis yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah UMS, di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, 44 pegawai kadet merupakan KOR SISPA UMS Kampus Induk, 18 dari UMS Kampus Sandakan dan 39 dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
Sepanjang mengikuti program KOR SISPA, para kadet menjalani pelbagai latihan dan kursus bagi membentuk pengetahuan, kemahiran serta tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana.
Antara kursus wajib yang dilalui termasuk Kursus Asas Pertahanan Awam, First Responder Life Support (FRLS) Level 1, Kursus Pengurusan Pusat Pemindahan, Kursus Bakal Pegawai dan Kursus Metodologi Latihan.
Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah Yang Setia Pesuruhjaya Mohd Yusoff Samad serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS merangkap Komandan KOR SISPA UMS Prof Datuk Dr Rossita Shapawi.
Dalam majlis sama, Al-Faid Hussin Mohd Ismail dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dinobatkan sebagai Pegawai Kadet KOR SISPA UMS Terbaik bagi Kampus Induk Kota Kinabalu.
Nur Afinie Najwa Azah dari Fakulti Pertanian Lestari pula dipilih sebagai Pegawai Kadet KOR SISPA UMS Terbaik bagi Kampus Sandakan, manakala Muhammad Zulkarnayn Suardi dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan menerima pengiktirafan sama bagi Kampus Labuan.
Pentauliahan itu mencerminkan komitmen UMS dan APM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan akademik, malah memiliki kemahiran, disiplin dan kesiapsiagaan untuk menyumbang dalam pengurusan kecemasan serta bencana.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Leave a Reply