Home / Penyelidikan / UPM universiti pertama luar China laksana teknologi Huawei FTTR

UPM universiti pertama luar China laksana teknologi Huawei FTTR

SERDANG –Keupayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerapkan teknologi rangkaian generasi baharu terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila pelaksanaan teknologi Fiber-to-the-Room (FTTR) Huawei di universiti itu diiktiraf sebagai kisah kejayaan pelanggan (customer success story) pada Huawei Network Summit (HNS) 2026 Asia Pacific.

Pengiktirafan berkenaan sekali gus meletakkan UPM sebagai universiti pertama di luar China yang berjaya melaksanakan teknologi FTTR Huawei, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang aktif menerajui transformasi digital.

Pelaksanaan teknologi itu diketengahkan dalam sesi breakout keynote HNS 2026 Asia Pacific, sekali gus membuka ruang kepada UPM berkongsi pengalaman dalam membangunkan infrastruktur rangkaian berkelajuan tinggi yang menyokong keperluan kampus pintar.

Menurut Ketua Seksyen Rangkaian ICT, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) UPM, Ts. Sayid Mohamad Nazari Sayid Ismail, pencapaian itu mencerminkan hasil kerjasama strategik yang dibina antara UPM dan Huawei sepanjang tempoh 10 tahun.

“Kerjasama yang terjalin sejak sedekad lalu telah menjadi antara pemangkin kepada usaha UPM memperkukuh infrastruktur digital universiti dan menyediakan persekitaran kampus yang lebih bersedia menerima teknologi baharu.

“Perkembangan ini bukan sahaja berkaitan peningkatan keupayaan rangkaian, malah turut menyokong pembangunan ekosistem yang mampu menampung aplikasi AI, Internet of Things (IoT), pembelajaran digital dan perkhidmatan pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pengiktirafan pelaksanaan FTTR UPM pada HNS 2026 Asia Pacific yang turut menyaksikan beliau menerima plak penghargaan sempena ulang tahun ke-10 kerjasama strategik UPM-Huawei bagi pihak universiti.

Teknologi FTTR menggunakan gentian optik bagi memperluaskan sambungan rangkaian terus ke ruang atau bilik pengguna, sekali gus menawarkan sambungan berkelajuan tinggi serta kestabilan rangkaian yang diperlukan untuk menyokong penggunaan aplikasi digital yang semakin kompleks.

Menurut Ts. Sayid Mohamad Nazari, pengiktirafan di peringkat Asia Pasifik itu turut membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi tempatan mempunyai keupayaan untuk mengadaptasi teknologi rangkaian terkini mengikut keperluan pembangunan kampus masa hadapan.

Sementara itu, HNS 2026 Asia Pacific bertemakan “Xinghe Intelligent Network, Innovations Never Stop” menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai sektor bagi membincangkan perkembangan teknologi berkaitan rangkaian pintar, AI, keselamatan siber dan transformasi digital.

Kerjasama UPM dan Huawei sepanjang sedekad itu dijangka terus menjadi pemangkin kepada penerapan penyelesaian teknologi baharu, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur digital serta mewujudkan persekitaran kampus pintar yang lebih berdaya tahan, berhubung dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Photo credit: Universiti Putra Malaysia (UPM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *