SHAH ALAM – Seramai 424 atlet Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC) bakal menggalas cabaran pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) mulai hari ini hingga 6 September.
Kesediaan kontinjen POLYCC itu dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Bendera dan Flag Off Kontinjen Politeknik Malaysia dan Kontinjen Kolej Komuniti Malaysia ke SUKIPT 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), baru-baru ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu sebagai simbol amanah serta sokongan kepada kontinjen POLYCC yang akan bersaing dalam temasya berkenaan.
Hadir sama Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) yang menjalankan tugas Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, Tn. Haji Azirin Abdul Aziz; Pengarah Kanan (Akademik), Dr. Haji Mohd Daud Isa; barisan kepimpinan Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), serta pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti.
Secara keseluruhan, kontinjen POLYCC membabitkan 641 orang terdiri daripada 424 atlet dan 217 pegawai, dengan Kontinjen Politeknik Malaysia menyumbang 314 atlet serta 141 pegawai, manakala Kontinjen Kolej Komuniti Malaysia terdiri daripada 110 atlet dan 76 pegawai.
Dalam saingan kali ini, Kontinjen Politeknik Malaysia akan mengambil bahagian dalam 25 acara sukan, sementara Kontinjen Kolej Komuniti Malaysia bertanding dalam 14 jenis sukan.
Antara sukan yang disertai termasuk petanque, ragbi, tenpin boling, taekwondo, hoki, golf, sepak takraw, memanah, badminton, karate, kayak, olahraga, silat, bola jaring, bola tampar, e-sukan, lawn bowl, catur, tenis, sofbol, futsal, menembak, aerodance dan pickleball.
Mengangkat tema “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 bukan sekadar medan persaingan bagi merebut pingat, sebaliknya menjadi platform pembentukan sahsiah atlet melalui nilai disiplin, integriti, daya tahan dan kebijaksanaan membuat keputusan.
Sehubungan itu, atlet POLYCC turut digalakkan menghayati konsep “The Thinking Athlete”, yang menekankan keupayaan atlet membaca situasi, menyesuaikan strategi, mengawal emosi serta membuat keputusan tepat ketika menghadapi tekanan pertandingan.
Pendekatan itu selari dengan aspirasi pendidikan POLYCC yang menekankan kemahiran menyelesaikan masalah, menganalisis keadaan dan menghasilkan penyelesaian, sekali gus menjadikan penglibatan dalam sukan sebagai sebahagian daripada proses pembentukan pelajar secara menyeluruh.
Pengalaman beraksi di pentas SUKIPT bukan sahaja menguji ketahanan fizikal atlet, malah mampu membentuk kepimpinan, disiplin, kerja berpasukan serta daya tahan yang penting untuk kehidupan dan alam pekerjaan.
Dalam menghadapi persaingan itu, para atlet turut diseru supaya yakin terhadap keupayaan diri dan pasukan, menjaga disiplin serta memanfaatkan sepenuhnya peluang mewakili POLYCC.
Photo credit: Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC)


Leave a Reply