PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Zon Timur) 2026 yang menghimpunkan lebih 500 pensyarah dan pentadbir muda berusia 40 tahun ke bawah dari institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Program yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan itu menjadi platform bagi memperkukuh jaringan, perkongsian pengalaman serta pembangunan kepimpinan dalam kalangan warga muda IPT.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan warga muda IPT sebagai persediaan membentuk generasi pelapis pendidikan tinggi negara.
“Program ini mencerminkan komitmen KPT dalam memperkukuh pembangunan bakat kepimpinan dalam kalangan warga muda IPT, di samping menyediakan ruang jaringan dan perkongsian pengalaman secara langsung.
“Usaha ini juga penting bagi membentuk pemimpin muda pendidikan tinggi yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan intelektual dan profesional, malah berjiwa besar, berpandangan jauh serta berkeupayaan memimpin perubahan demi masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.
Kembara KARISMA Zon Timur turut menampilkan pelbagai pengisian berkaitan pembangunan kepimpinan, termasuk sesi Kepimpinan 3H (Head, Heart, Hand) yang dikendalikan Pensyarah UMPSA, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Ab Razak bersama Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga Felo Muda AKEPT, Dr. Nurul Hidayah Mat.
Selain itu, Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman turut menyumbang dalam pengisian program berkenaan.
Peserta turut mengikuti forum bertajuk “One Higher Education Act: Memperbaharui Kerangka Perundangan Pendidikan Tinggi Negara” yang membincangkan keperluan serta hala tuju pembaharuan kerangka perundangan pendidikan tinggi.
Forum berkenaan menampilkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga Ketua Felo Muda AKEPT, Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee.
Sesi yang dikendalikan Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Jannah Mustafa Khan itu memberi ruang kepada peserta membincangkan isu semasa serta prospek pembangunan pendidikan tinggi negara.
Pada program sama, Dr. Zambry turut mengadakan sesi Townhall bersama warga muda IPT bagi mendengar pandangan, aspirasi serta cadangan mereka berkaitan pembangunan pendidikan tinggi dan peranan generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Watikah Lantikan CEO@Faculty kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz dan Naib Presiden merangkap Pengarah Urusan Western Digital Tech and Regional Center (M) Sdn. Bhd., Datuk Raghu Bathamenadan.
Selain itu, Surat Sijil Kelayakan Menduduki (CF)/Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) Dewan Konvokesyen UMPSA diserahkan oleh wakil JKR, Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek JKR Pahang, Ir. Ts. Adnan bin Ladin.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zambry turut melancarkan Automotive Teaching Factory menerusi lawatan ke Pusat Kejuruteraan Automotif serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA.
Lawatan itu memberi pendedahan kepada perkembangan teknologi kejuruteraan mekanikal dan automotif universiti meliputi teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid, kenderaan elektrik (EV), autonomi dan aeroangkasa.
Beliau turut meninjau produk penyelidikan dan inovasi berkaitan teknologi ICE-Hybrid-EV serta beberapa fasiliti penyelidikan FTKMA termasuk Makmal Enjin Dyno, Makmal EV dan Stesen EV Charger.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply