BESTARI JAYA — Universiti Selangor (UNISEL) memberi suntikan semangat kepada 112 atlet universiti yang bakal menggalas cabaran pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-7 2026 menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UNISEL, di sini semalam.
SUKIPT 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) dari 28 Ogos hingga 6 September ini menyaksikan kontinjen UNISEL membuat persiapan untuk bersaing dalam 12 acara sukan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya itu turut diserikan dengan webinar Excelling in Academic and Sports: Unlocking the Secrets of Students-Athlete Success yang disampaikan Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sesi berkenaan bertujuan menyuntik semangat juang serta meningkatkan keyakinan atlet UNISEL menjelang penyertaan mereka dalam temasya berkenaan.
Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL, Prof. Madya Dr. Hamdan Datuk Mohd Salleh berkata penyertaan dalam kejohanan sukan bukan semata-mata untuk memburu kemenangan, sebaliknya menjadi medan penting dalam pembentukan jati diri mahasiswa.
Beliau berkata pengalaman menyertai pertandingan dapat membantu mahasiswa membina kepimpinan, ketahanan mental serta semangat kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“Penyertaan dalam kejohanan bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, malah menjadi ruang kepada mahasiswa untuk membina jati diri, kepimpinan, ketahanan mental dan semangat kerjasama,” katanya.
Pada majlis itu, Prof. Madya Dr. Hamdan yang mewakili Presiden dan Naib Canselor UNISEL menyerahkan bendera universiti kepada Ketua Kontinjen sebagai simbol amanah dan tanggungjawab untuk membawa nama serta maruah UNISEL sepanjang SUKIPT 2026.
Penyerahan berkenaan turut melambangkan keyakinan pihak universiti terhadap keupayaan atlet untuk memberikan persembahan terbaik, selain menjunjung nilai disiplin, integriti dan semangat kesukanan.
Seramai 112 atlet UNISEL akan beraksi dalam 12 acara iaitu badminton, bola tampar, olahraga, bola jaring, sepak takraw, petanque, bola baling, ping pong, taekwondo, e-sukan, catur dan ragbi.
Turut hadir ialah barisan pengurusan UNISEL, pegawai kontinjen sukan universiti serta pihak pengurusan sukan yang bersama-sama memberikan sokongan kepada kontinjen sebelum berangkat ke SUKIPT 2026.
Photo credit: Universiti Selangor (UNISEL)


Leave a Reply