Home / Sukan / UMS sasar sekurang-kurangnya lima emas pada SUKIPT 2026

UMS sasar sekurang-kurangnya lima emas pada SUKIPT 2026

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat emas pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Edisi Ke-7 2026 yang akan berlangsung di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Prof Dr Raman Noordin berkata sasaran itu realistik berdasarkan persiapan rapi, komitmen tinggi serta semangat juang yang ditunjukkan oleh atlet dan pegawai universiti.

“Sebagai tanda penghargaan dan motivasi kepada kontinjen, UMS menyediakan insentif RM500 bagi setiap pingat emas yang berjaya dimenangi,” katanya ketika menyempurnakan penyerahan bendera kepada kontinjen UMS di Jabatan Digital UMS, hari ini.

Beliau berkata seramai 60 atlet dan pegawai UMS akan membawa cabaran universiti dalam sembilan acara sukan pada kejohanan berkenaan.

Antara acara yang disertai ialah bola tampar lelaki dan wanita, taekwondo, silat, karate, petanque, badminton, tenpin boling, memanah dan olahraga.

Raman berkata penglibatan dalam SUKIPT bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya turut menjadi platform kepada atlet membina ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta memperluas jaringan dengan warga institusi pendidikan tinggi awam dari seluruh negara.

Beliau turut berharap seluruh kontinjen UMS dapat memberikan komitmen terbaik sepanjang kejohanan selain menjaga nama baik universiti dan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sebagai sebahagian daripada pembangunan sahsiah serta kecemerlangan mahasiswa.

SUKIPT Edisi Ke-7 2026 yang berlangsung selama 10 hari itu dijangka menghimpunkan atlet institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.

Photo credit: Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *