Home / Penyelidikan / PKTAAB USM perkasa rawatan kanser menerusi teknologi terkini

PKTAAB USM perkasa rawatan kanser menerusi teknologi terkini

BERTAM — Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus meninjau perkembangan serta keupayaan teknologi terkini dalam memperkukuh rawatan kanser di negara ini.

Dalam lawatan itu, Zambry turut meninjau tiga teknologi rawatan kanser yang dilaksanakan di PKTAAB hasil sokongan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Teknologi berkenaan ialah Linear Accelerator (LINAC) Elekta Evo yang merupakan teknologi pertama seumpamanya di Asia Tenggara, sistem Brakiterapi Flexitron bagi rawatan berketepatan tinggi serta ALBA 4000D Hipertermia Radiatif Superfisial yang pertama di Malaysia.

Ketiga-tiga teknologi berkenaan menggabungkan pendekatan rawatan berasaskan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), radioterapi adaptif, brakiterapi berketepatan tinggi dan hipertermia terapeutik.

Pendekatan berkenaan membolehkan rawatan kanser dilaksanakan dengan tahap ketepatan dan keberkesanan yang lebih tinggi, selain menyokong usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan berasaskan teknologi di negara ini.

Lawatan itu turut memberi gambaran secara langsung kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai komitmen USM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan yang mengintegrasikan aspek rawatan, pendidikan dan penyelidikan kanser.

Photo credit: Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *