Home / Utama / UTHM terima Anugerah MyMoheS atas kecemerlangan pengurusan data

UTHM terima Anugerah MyMoheS atas kecemerlangan pengurusan data

KUALA LUMPUR– Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Anugerah MyMoheS sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan universiti itu dalam aspek pengurusan, ketepatan, kesempurnaan dan kualiti data.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir kepada Naib Canselor UTHM Prof Ts Dr Mas Fawzi Mohd Ali yang mewakili universiti pada Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, semalam.

Pengiktirafan yang diberikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan penghargaan terhadap usaha institusi pendidikan tinggi memastikan pengurusan data MyMoheS dilaksanakan secara cekap, tepat, lengkap dan berkualiti.

UTHM merupakan antara lima institusi pendidikan tinggi yang menerima Anugerah MyMoheS pada majlis berkenaan, selain Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Komuniti Hulu Selangor, Kolej Komuniti Hulu Langat dan Kolej Komuniti Kuala Langat.

UTHM dalam kenyataan berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh tadbir urus melalui pengurusan data yang cekap, tepat dan berintegriti.

Menurut kenyataan itu, kualiti data bukan sahaja penting bagi memenuhi keperluan pelaporan, malah menjadi asas kepada perancangan strategik, pemantauan prestasi dan proses membuat keputusan di peringkat institusi.

“Pengiktirafan ini turut menyerlahkan usaha kolektif warga UTHM dalam memastikan data universiti yang dikemukakan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan, sekali gus menyumbang kepada penghasilan maklumat yang lebih tepat dan boleh dipercayai bagi menyokong perancangan pendidikan tinggi negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2026-2030 yang diluncurkan pada majlis sama merupakan antara usaha strategik KPT bagi memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan agar lebih responsif terhadap perubahan landskap pekerjaan serta keperluan industri semasa dan masa hadapan.

Selaras dengan agenda berkenaan, UTHM komited memperkukuh ekosistem pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan menerusi kolaborasi strategik bersama industri, alumni serta pelbagai pemegang taruh.

Usaha itu penting bagi memastikan graduan UTHM bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran teknikal, malah dilengkapi kompetensi, daya saing dan kesiapsiagaan kerjaya yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

UTHM berkata penerimaan Anugerah MyMoheS itu menjadi pengiktirafan bermakna terhadap komitmen warganya dalam memperkukuh pengurusan data dan tadbir urus institusi, selain menjadi pemangkin untuk universiti terus meningkatkan kecemerlangan dalam mendukung agenda pendidikan tinggi negara.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM Prof Dr Afandi Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq; Pengarah Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni Ts Dr Norfaniza Mokhtar serta Ketua Jabatan Kerjaya Pelajar Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Azahari Razali.

Photo credit: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *