Home / Utama / USM himpun lebih 150 pakar bincang masa depan diagnostik molekul

USM himpun lebih 150 pakar bincang masa depan diagnostik molekul

PULAU PINANG– Lebih 150 saintis, ahli perubatan, penyelidik, penggubal dasar dan wakil industri dari dalam serta luar negara berkumpul pada 8th International Conference on Molecular Diagnostics & Biomarker Discovery 2026 (MDBD 2026) di Iconic Marjorie Hotel di sini.

Persidangan anjuran Institut Penyelidikan dalam Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Thermo Fisher sebagai penaja tunggal itu berlangsung selama dua hari bermula semalam hingga hari ini, dengan mengetengahkan tema “Redefining Healthcare: Multi-Omics Driven Diagnostics and Therapeutics”.

Persidangan berkenaan meneroka perkembangan teknologi terkini dalam bidang diagnostik molekul dan penemuan biomarker bagi menyokong pengesanan penyakit lebih awal dan tepat, rawatan bersasar serta penjagaan kesihatan diperibadikan.

Perasmian MDBD 2026 disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Prof Dr Habibah A Wahab, FASc., yang hadir mewakili Naib Canselor USM.

Dalam ucapan perasmiannya, Habibah menegaskan komitmen USM untuk memacu penyelidikan yang mampu diterjemahkan dari makmal kepada pesakit serta seterusnya menyumbang kepada pembentukan dasar kesihatan awam yang mudah diakses.

Beliau turut menekankan kepentingan meletakkan pesakit sebagai fokus utama dalam perkembangan bidang diagnostik dan perubatan molekul.

Katanya, di sebalik setiap analisis sampel biologi, urutan genom dan algoritma biomarker, terdapat pesakit yang menanti jawapan bagi membantu menentukan diagnosis dan rawatan yang bersesuaian.

Persidangan itu turut diperkukuh dengan penerbitan Journal of Molecular Diagnostics and Biomarker Discovery (JMDBD) sebagai platform perkongsian hasil penyelidikan dalam bidang diagnostik molekul, penemuan biomarker, perubatan tepat dan teknologi kesihatan.

Photo credit: Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *