Home / Budaya / UMK angkat warisan semutar melalui ALAM 12

UMK angkat warisan semutar melalui ALAM 12

BACHOK– Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE) menjadi tuan rumah 12th Assembly of Landscape Architecture Students Malaysia (ALAM 12), yang menghimpunkan 110 pelajar seni bina landskap dari tujuh institusi akademik utama seluruh negara.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Ogos itu diadakan di UMK Bachok dengan mengetengahkan tema ‘SEMUTAR’ bagi mengangkat keunikan dan estetika pemakaian kain hiasan kepala tradisional masyarakat Kelantan yang sarat dengan falsafah, pemikiran serta warisan budaya.

Dekan FSE Prof Madya Dr Shardy Abdullah berkata penganjuran ALAM 12 menjadi platform kepada pelajar untuk berkongsi idea dan kepakaran selain memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang seni bina landskap serta industri berkaitan.

Beliau berkata perkembangan teknologi yang pesat turut mengubah landskap dunia pekerjaan termasuk cara berkomunikasi dan berkarya, namun generasi muda tidak seharusnya melupakan akar budaya dan warisan tempatan.

“Dalam kita mengejar kemajuan, jangan sampai kita lupa akar kita. Warisan seperti semutar perlu terus dihidupkan, dihargai dan diberikan nafas baharu oleh generasi muda.

“Penggunaan tema SEMUTAR pada ALAM 12 bertujuan menterjemahkan kekayaan kreativiti budaya tempatan ke dalam ekspresi reka bentuk landskap kontemporari dalam kalangan bakal arkitek landskap masa hadapan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup ALAM 12 – BEKWOH 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, semalam.

Shardy berkata semutar mempunyai kaitan yang rapat dengan bidang seni bina landskap kerana mahasiswa bukan sekadar mempelajari kaedah mereka bentuk ruang, malah perlu memahami tempat, budaya dan identiti masyarakat sebelum menterjemahkannya ke dalam sesuatu reka bentuk.

“Warisan seperti semutar, wau, seni bina tradisional dan budaya masyarakat setempat boleh menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan ruang yang mempunyai identiti dan makna,” katanya.

Beliau berkata universiti bukan sekadar medan mengejar pencapaian akademik, sebaliknya turut berperanan membentuk kematangan diri dan mempersiapkan mahasiswa menjadi profesional yang serba boleh.

Katanya, bidang seni bina landskap kini memikul peranan semakin kritikal dalam mendepani cabaran global termasuk perubahan iklim, bencana banjir, kehilangan biodiversiti dan kepesatan pembangunan bandar.

“Landskap adalah tentang kehidupan manusia yang merangkumi penciptaan ruang yang selesa dan selamat, pengurusan sumber air yang mampan, pemeliharaan alam sekitar serta pengekalan identiti dan warisan sesuatu tempat,” katanya.

Sehubungan itu, Shardy berharap peserta ALAM 12 dapat muncul sebagai generasi baharu arkitek landskap yang bukan sahaja kreatif, malah memiliki pemikiran kritikal, kesedaran alam sekitar yang mendalam, penguasaan kemahiran digital serta keberanian untuk memacu inovasi.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Sesi Program Kecek Kiro dan Forum ALAM 12 bersama panel jemputan, pertandingan Sobek Wau yang melibatkan rekaan arca antara kontinjen, aktiviti Raso-pah-Hungga bagi menjelajah sekitar kampus UMK Bachok serta Kugha Semutar iaitu aktiviti mewarna kain semutar.

Program turut diserikan dengan aktiviti Make Sello dan kemuncaknya Bekwoh ALAM 12 yang merangkumi Majlis Perasmian Penutup ALAM 12 serta sesi penyampaian hadiah kepada kontinjen yang mengambil bahagian.

Photo credit: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *