KOTA KINABALU– Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh identitinya sebagai ‘The Brain of Borneo’ menerusi penganjuran 1st Borneo International Conference on Engineering, Science and Technology (BICEST) 2026 yang menghimpunkan penyelidik, golongan profesional, pembuat dasar dan pemimpin industri dari pelbagai sektor.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Haji Mansor berkata penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa penyelidikan, melahirkan graduan berkemampuan serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri dan kerajaan dalam menangani keperluan pembangunan Sabah dan rantau ini.
Beliau berkata tema BICEST 2026 iaitu ‘Sustainable Innovation: Engineering for Complex Challenges’ amat bertepatan dengan realiti dan cabaran yang dihadapi Sabah, termasuk kedudukan negeri itu dalam persekitaran geologi aktif, pembangunan kawasan pesisir pantai, peralihan tenaga serta keperluan menyediakan infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi secara berterusan.
“Penganjuran BICEST 2026 menjadi platform penting untuk menghimpunkan kepakaran dan pemikiran pelbagai pihak dalam mencari pendekatan serta penyelesaian inovatif terhadap cabaran kompleks yang dihadapi negeri dan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penganjuran BICEST 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, semalam.
Turut hadir Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS Datuk Ir. Dr. Bacho Pilong; Pengurus Besar, Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan Datuk Siti Ayu Haniza Abdul Wahab; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS Luqman Ridha Awar; General Manager of PCSB Technical Services Wan Zamani Wan Deraman serta Pengerusi Persidangan Prof Ir. Dr. Willey Liew Yun Hsien.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dalam ucapan perasmian mengalu-alukan penganjuran persidangan berkenaan yang disifatkan mampu menghimpunkan kepakaran, idea dan kerjasama strategik bagi membangunkan penyelesaian praktikal.
Beliau berkata usaha itu penting dalam menyumbang kepada pembentukan Sabah yang lebih berdaya tahan, mampan dan makmur untuk generasi masa kini dan akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, UMS turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) serta Surat Hasrat (LoI) dengan Universitas Andalas (UNAND), Indonesia pada majlis berkenaan.
MoA itu ditandatangani oleh Kasim bagi pihak UMS, manakala PCSB diwakili Senior General Manager of PCSB Sabah Asset, Eruwan Gerry Norsen.
Kerjasama berkenaan antara lain bertujuan memperkukuh pembelajaran berasaskan industri, melahirkan bakat kejuruteraan masa hadapan serta menangani cabaran sebenar industri secara kolaboratif.
Sementara itu, LoI antara UMS dan UNAND ditandatangani oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof Madya Ir. Dr. Abu Zahrim Yaser dan wakil Dekan Fakulti Kejuruteraan UNAND, Prof Ir. Dr. Elsa Eka Putri.


Leave a Reply