oleh Bazli Razak
SERDANG– Atlet olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee, mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul tiga pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai Raja Pecut SUKMA.
Danish, 19, yang mewakili kontinjen Johor terlebih dahulu mempertahankan kejuaraan acara 100 meter (m) lelaki dengan catatan 10.27 saat (s) pada aksi final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), mengulangi kejayaan yang dilakukannya pada SUKMA Sarawak 2024.
Catatan 10.27s itu bukan sahaja menghadiahkan emas buat Johor, malah membuktikan konsistensi pelari pecut muda berkenaan selepas mengharungi musim yang mencabar di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Lebih membanggakan, Danish kemudian membantu kuartet Johor yang dibarisi Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli dan Adam Harith Hairulaydel memenangi emas acara 4x100m lelaki dengan catatan 39.46s, sekali gus mencipta rekod baharu SUKMA.
Catatan itu memadam rekod lama 39.89s yang dicipta kuartet Melaka pada SUKMA Sarawak 2016, sekali gus melakar sejarah baharu dalam acara 4x100m lelaki di pentas SUKMA.
Danish kemudian melengkapkan koleksi tiga emasnya selepas menjuarai acara 200m lelaki dengan catatan 20.85s, sekali gus menguasai dua acara pecut individu utama pada temasya berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kejayaan Danish membuktikan bahawa pendidikan tinggi dan pembangunan sukan berprestasi tinggi mampu bergerak seiring dalam melahirkan atlet mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam arena sukan, malah mampu mengharumkan nama universiti dan negara.
“UPSI amat berbangga dengan pencapaian Danish yang berjaya membuktikan keupayaannya di pentas SUKMA dan antarabangsa. Kejayaan ini adalah hasil disiplin, komitmen serta kesungguhan beliau dalam menjalani latihan dan pada masa sama meneruskan pengajian.
“Lebih membanggakan, Danish bukan sekadar mempertahankan kejuaraan 100m, malah berjaya memenangi 200m dan membantu pasukan Johor mencipta rekod baharu SUKMA dalam acara 4x100m. Pencapaian ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa UPSI yang lain untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya.
Kejayaan itu turut mengangkat Danish sebagai antara atlet paling menyerlah dalam arena olahraga SUKMA 2026 apabila dua emas acara individu dan satu emas acara berpasukan berjaya dikumpulkannya.
Kejayaan tiga emas tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Danish sebagai antara prospek utama olahraga pecut negara, selain menjadi bukti kemampuan atlet mahasiswa UPSI untuk menyerlah dalam arena sukan berprestasi tinggi.
Sebelum beraksi di pentas SUKMA, beliau terlebih dahulu mencipta sejarah apabila mara ke final acara 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, dan menamatkan saingan sebagai pelari kelapan terbaik dunia.
Photo credit: Harian Metro


Leave a Reply